Tengku Amir Shah inspirasi belia | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Norway

Wartawan

Afix Redzuan

Tengku Amir Shah inspirasi belia

OLEH AFIX REDZUAN

DULI Yang Teramat Mulia (DYTM) Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah dimahsyurkan sebagai Raja Muda Selangor dalam sebuah Istiadat Pemasyhuran Gelaran yang penuh tradisi, di Balairung Seri, Istana Alam Shah, pada 8 Oktober 2016.

Baginda mengangkat sumpah gelaran Raja Muda Selangor di hadapan ayahanda baginda, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.


Tengku Amir Shah yang kini berusia 27 tahun diputerakan pada 12 Disember 1990 di San Francisco, Amerika Syarikat, adalah anak bongsu dari tiga beradik hasil perkahwinan Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Puan Nur Lisa Idris Abdullah.

Baginda mendapat pendidikan awal sekolah rendah dan menengah di Alice Smith School, Kuala Lumpur, sebelum melanjutkan pelajaran di Wellington College, United Kingdom (UK) dari 2004 hingga peringkat A-Level, pada 2009.

Kemudiannya baginda melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Ekologi dan Biologi Alam Sekitar di Leeds University, UK, pada 2014.

Tengku Amir Shah menjalani kursus persediaan ketenteraan yang rapi di Akademi Tentera Darat, Port Dickson, Negeri Sembilan dari 23 September sehingga 5 Disember 2014.

Selepas itu, baginda meneruskan latihan ketenteraan Commissioning Course Intake 152 sebelum mendaftar diri di Akademi Ketenteraan Diraja Sandhurst, UK, dari 3 Mei 2015 hingga 15 April lalu.

Rentetan daripada kejayaan itu, baginda ditauliahkan sebagai pegawai tentera berpangkat Leftenan Muda di Batalion Ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dalam satu upacara di Kem Terendak, Melaka, pada 19 Julai lalu.

Pada 15 Mac lalu, Tengku Amir Shah dianugerahkan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat 10 Briged Para oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Anugerah ini diberikan berdasarkan komitmen, keazaman, ketabahan serta keyakinan dan sifat kepimpinan yang ditunjukkan baginda sepanjang mengikuti kursus Asas Pasukan Aturgerak Cepat (APAC) siri 2/2016.

Baginda turut terkenal dengan sifat berjiwa rakyat apabila sering meluangkan masa memenuhi undangan dan majlis keraian serta menjadi Penaung Diraja bagi beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai objektif membantu rakyat bagi meningkatkan taraf kehidupan.

Antara NGO yang dinaungi baginda ialah Yayasan Raja Muda Selangor, Pertubuhan Kebajikan Selangor Cheshire Home, Make a Wish Malaysia dan Selangor Youth Community (SAY).

Baginda turut menggemari sukan lasak seperti menunggang kenderaan pelbagai bentuk muka bumi (ATV), berbasikal dan bola sepak.

Tengku Amir Shah turut mengasaskan Selangor Champions League pada tahun 2016 untuk menaikkan standard bola sepak peringkat amatur di Selangor dan memperagakan bakat bola sepak, di peringkat komuniti.

Cinta baginda terhadap sukan bola sepak khususnya skuad Red Giants tidak dapat dinafikan menerusi satu kenyataan berhubung tujuh cara untuk menaikkan semula martabat bola sepak Selangor.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next