Selangorkini
SUKANKINI

Terlibat kemalangan, tak jejas misi Zaqwan

 

SHAH ALAM, 1 DIS: Pelumba SuperSports 600cc negara, Mohd Zaqhwan Zaidi terbabit kemalangan pada awal sesi latihan bebas kedua dalam saingan hari pertama Pusingan 6 Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC)di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, semalam.

Pelumba pasukan Musashi Boon Siew Honda Racing itu terjatuh bersama pelumba AP Honda Racing Thailand, Ratthapong Wilairot seawal pusingan pertama sesi latihan bebas kedua yang menyaksikan bahagian hadapan jenteranya mengalami kerosakan teruk dan gagal untuk meneruskan sesi tersebut.

Zaqhwan yang sebelum itu muncul pelumba terpantas dalam sesi latihan bebas pertama, bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius dan akan meneruskan sesi latihan bebas ketiga dan kelayakan esok.

“Saya gagal mengawal jentera dan terjatuh di selekoh terakhir sehingga menyebabkan jentera saya rosak teruk di bahagian depan.

“Bagaimanapun, kecederaan saya tidak begitu serius, cuma sakit sedikit di bahagian pinggang dan belakang badan. Doktor telah memberi kebenaran untuk saya meneruskan aksi.

“Insiden ini tidak melemahkan semangat saya untuk memburu gelaran keseluruhan ketiga pada minggu ini. Saya tidak berasa tertekan kerana strategi pada minggu ini adalah fokus kepada sesi kelayakan dan perlumbaan pertama dahulu berbanding memikirkan tentang gelaran,”katanya.

Zaqhwan yang kini sedang mendahului kedudukan keseluruhan dengan 138 mata yakin, pasukan mampu menyiapkan jenteranya dalam keadaan terbaik.


Pengarang :