Selangorkini
PBT SELANGOR

Tong ICYCLE – kitar semula dapat ganjaran

OLEH SHEEDA FATHIL

KEPONG, 3 DIS: Tong kitar semula iCYCLE diperkenalkan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) untuk mengalakkan budaya kitar semula dalam kalangan penduduk sekitar Taman Desa Jaya, di sini.

Exco Pelancongan Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, tong ICYCLE membolehkan penduduk membuang sampah kitar semula sekali gus mereka akan mendapat ganjaran.

“Sistem tong sampah ICYCLE ini jika diguna, ia memberi peluang kepada penduduk untuk kumpul mata ganjaran dan dapat menebus samada dalam bentuk wang tunai, baucer beli belah atau barangan keperluan.

“Penduduk perlu kumpul semua bahan kitar semula dan menampal ‘bar code’ keahlian pada plastik sampah berkenaan dan dimasukkan ke dalam tong ICYCLE, katanya.

Beliau berkata pada Majlis Perasmian Penyerahan Tong Kitar Semula ICYCLE di Balai Raya Taman Desa Jaya, Kepong.

Turut hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Suliman Abd Rahman, Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan MPS, Hairudin Daud dan Ahli Majlis MPS Zon 24, Fok Wai Mun.

Sementara itu, Elizabeth berkata, RM20,000 diperuntukkan kepada projek perintis ini sekaligus mempromosi kempen 4R (Rethink-Reduce-Reuse-Recycle).

Selain itu, empat kawasan dipilih untuk melaksanakan projek perintis berkenaan iaitu Balairaya Jalan 19 Desa Jaya, Masjid Al-Faizin Desa Jaya, Apartment Puncak Desa dan Apartment Sri Ehsan.

Elizabeth berkata, kepada penduduk yang berminat sertai sistem ganjaran ICYCLE, boleh mendaftar di laman sesawang www.icycle-global.com sekali gus mereka boleh menyemak mata ganjaran untuk tebus barang eksklusif.

Program itu turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan MPS dan Syarikat iCycle Malaysia Sdn Bhd.

=EZY=


Pengarang :