SELANGOR

YIDE sumbang wang tunai kepada mangsa kebakaran

OLEH LIZAWATI MADFA

KLANG, 25 DIS: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) segera menyampaikan bantuan ‘ad-hoc’ kepada mangsa kebakaran, Zaidi Tukimin di Pangsapuri Seri Perantau, Pelabuhan Klang, baru-baru ini.

Pengurus Operasinya, Md Ariffin Jaafar berkata, sumbangan disampaikan dalam bentuk barangan keperluan harian dan dan wang tunai kepada mangsa berkenaan.

Katanya, ia selaras dengan matlamat YIDE yang bertanggungjawab menjalankan aktiviti kebajikan di Selangor.

“Aktiviti ini meliputi penyerahan sumbangan dan keperluan harian secara ‘ad-hoc’ kepada golongan sasaran dalam bentuk kewangan tunai dan barangan keperluan harian.

“Ia termasuk barangan seperti makanan, minuman, pakaian dan kelengkapan keperluan diri kepada mangsa yang ditimpa musibah,” katanya.

Pada 20 Disember lalu, kira-kira jam 3 petang, isteri mangsa terdengar bunyi renjatan elektrik di plug bilik dan mendapati terdapat asap dan bau kebakaran.

Beliau kemudiannya menyedari bilik utama terbakar dan sudah merebak ke kawasan ruang tamu serta bilik bersebelahan.

Beberapa dokumen penting seperti sijil kelahiran, sijil nikah, geran kereta dan sejumlah wang turut terbakar semasa kejadian, namun tiada kemalangan jiwa.

Untuk sebarang kejadian musibah bencana atau malapetaka, orang ramai boleh hubungi pegawai YIDE, Muhammad Zubair di talian 017-7569476 untuk tindakan lanjut.


Pengarang :