NASIONAL

1,034 kes denggi dilapor sejak awal 2018

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 18 JAN: Sebanyak 1,034 kes demam denggi dilaporkan berlaku di seluruh negara, pada minggu pertama 2018 dari 31 Disember 2017 hingga 6 Januari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat peningkatan kes demam denggi selama lima minggu berturut-turut, sejak awal Disember lalu.

Katanya, sebanyak 291 lokaliti wabak demam denggi yang masih aktif, termasuk 24 lokaliti hotspot semasa membabitkan enam negeri.

“Selangor mencatatkan lokaliti hotspot tertinggi, iaitu 14 diikuti Johor (5), Pulau Pinang (2), manakala satu lokaliti masing-masing di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Perak dan Sabah.

“Sebanyak 1 kes kematian dicatatkan, berbanding 1,644 kes dengan dua kematian, pada minggu sama pada tahun lalu iaitu penurunan 37.1 peratus (610 kes),” katanya dalam kenyataan.

Noor Hisham berkata, berdasarkan pemantauan KKM, faktor cuaca iaitu musim hujan antara penyebab utama kes demam denggi meningkat.

Selain itu, katanya, terdapat perubahan serotype, iaitu virus denggi dari serotype Den3 kepa Den 2, pada penghujung 2017.

“Kes denggi dijangka meningkat dengan adanya perubahan virus berkenaan.

“Aktiviti pencegahan, membersih dan menghapuskan tempat pembiakan denggi perlu lebih diperkasakan,” katanya.


Pengarang :