NASIONAL

150,000 sampul angpau 2.6 bilion, mesej perubahan PRU-14

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 JAN: KEADILAN mencetak sejumlah 150,000 sampul angpau yang tertera perkataan ‘dua puluh enam ratus juta’ (2.6 bilion) dalam tulisan Cina berwarna emas kepada orang ramai pada harga RM20, menjelang Sambutan Tahun Baru Cina ini.

Angpau itu dicetak untuk menyampaikan mesej kepada orang ramai dalam melaksanakan perubahan menjelang Pilihanraya Umum ke 14, yang akan diadakan tidak lama lagi.

Timbalan Pengarah Strategik Pemuda KEADILAN, Chua Wei Kiat berkata, reka bentuk sampul itu sangat bermakna kerana pilihan raya akan diadakan tahun ini.

Katanya, usaha itu adalah sebahagian daripada projek parti untuk mengumpulkan dana.

“Kami berharap semua orang mendapat mesej dan membantu membawa perubahan,” katanya dalam sidang media, di Ibu Pejabat KEADILAN.

Angpau yang mengandungi 25 sampul itu akan dipasarkan menerusi dalam talian.

Manakala, sampul merah ‘politik’ percuma, boleh didapati di laman media sosial Facebook ‘Ah Jib Gor’ dalam bahasa Mandarin.

Sampul itu mengandungi karikatur Najib serta masyarakat pelbagai kaum mengadakan ‘Lou Sang’, selain gambar makanan tradisional masyarakat Cina seperti kuih bakul.

Mereka hanya disyaratkan untuk menekan ‘Like’ pada laman itu dan mengisi butiran peribadi seperti alamat rumah, nama penuh dan nombor telefon masing-masing menerusi pautan untuk menerima sampul berkenaan.

=EZY=


Pengarang :