BERITA UTAMASELANGOR

30 agensi pelancongan meriahkan FAM Tour

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 19 JAN: Seramai 30 wakil agensi pelancongan memeriahkan Familiarisation (FAM) Tour bersama Malaysian Association of Tour and Travel Agents (MATTA) Selangor siri 1/2018 yang berlangsung dua hari satu malam pada 17 hingga 18 Januari, baru-baru ini.

Pengurus Komunikasi Korporat Tourism Selangor, Nazri Tashriq berkata, antara tiga daerah dilawati adalah Shah Alam, Kuala Selangor dan Sekinchan.

“FAM Tour diadakan bagi mempromosi setiap daerah di Selangor untuk agensi pelancongan memperkenalkan kepada pelanggan mahupun pelancong yang menggunakan perkhidmatannya.

“Ia bersesuaian dengan teras Tourism Selangor sendiri untuk mempromosi penjenamaan baru Discover Selangor, Heart of Malaysia dan #TakeMeAnywhere,” katanya kepada SelangorKini.

Nazri berkata, FAM Tour itu diadakan setiap bulan bagi membawa ejen pelancongan di samping dapat memperkenalkan kepada mereka tempat menarik di Selangor.

“Untuk siri pertama 2018, kami memilih tiga daerah manakala pada bulan akan datang tempat dilawati mungkin akan berbeza-beza.

“Tourism Selangor akan memperkenalkan produk pelancongan baru bersempena tahun ini,”katanya.

FAM Tour bersama MATTA turut disertai lima wakil Tourism Selangor, Pengerusi MATTA Selangor, Dato’ Wira Syed Abdul Rahman Alhabshi dan isteri beliau Datin Baizura Abu Bakar.

Selain itu, antara 30 ejen pelancongan yang turut serta adalah BHS Travel & Tours, Hannah Travel, Kowamas Holidays, Shahmie Travel dan Angsana Travel & Tours.

Terdahulu, antara tempat menarik dilawati pada hari pertama adalah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), Homestay Sungai Sireh, Bukit Melawati dan Kelip-kelip Kampung Kuantan.

Manakala, pada hari kedua pelbagai tempat menarik dilawati antaranya SkyMirror, melawat Ah Ma House, Muzium Padi, Pantai Redang dan perkampungan nelayan.

FAM Tour ini diadakan selaras dengan tujuan Tourism Selangor mensasarkan 7.6 juta pelancong akan berkunjung ke negeri ini pada tahun 2018.


Pengarang :