SUKANKINI

5 terpilih dalam “Impian ke MotoGP” SIC

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 17 JAN: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) berjaya mengenal pasti lima pelumba muda berbakat melalui program “Impian ke MotoGP”, di Litar Kart Antarabangsa Sepang, pada Sabtu dan Ahad lalu.

Lima pelumba itu ialah Muhammad Idil Fitri Mahadi, Muhammad Izam Ikmal dan Mohd Danial Syai Ahmad Shahril, berusia 15 tahun bersama Daniel El Fahim Harris El Hadi (14) dan Muhamad Harith Haziq Zamri (13).

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, mereka akan menyertai latihan intensif selama dua minggu di bawah kelolaan bekas pelumba Moto3 dan Supersports Dunia, Zulfahmi Khairuddin dan bekas juara Asia Road Racing, Ahmad Zamani Baharuddin.

“Mereka akan diuji dalam pelbagai aspek termasuk kemahiran menunggang, kecergasan, dedikasi dan komitmen sebelum Zulfahmi dan Ahmad Zamani membuat pemilihan dua pelumba terbaik yang layak untuk bersaing di perlumbaan dunia CEV.

“Kami mahu memilih pelumba yang benar-benar layak kerana program ini membabitkan pelaburan amat besar,” katanya.

Sesi pemilihan dalam program dua hari itu dilakukan Zulfahmi dan Ahmad Zamani.

Dua dari lima pelumba terpilih berpeluang beraksi pada kejuaraan CEV Sepanyol, iaitu gelanggang diiktiraf sebagai kejuaraan Moto3 remaja dunia.

Selain bersaing di pentas CEV Sepanyol, dua pelumba itu akan juga menimba pengalaman bersaing di pentas Asia Road Racing Championship (ARRC) dan perlumbaan Malaysia Superbike Championship (MSBK) dalam kelas 250cc.

Tiga yang lain akan diletakkan bersaing, pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia.

Beliau berkata, dipacu dengan azam melahirkan pelumba negara berkelas dunia seperti Zulfahmi, SIC melancarkan program “Impian ke MotoGP” dengan pendaftaran terbuka melalui dalam talian untuk pelumba berusia antara 13 hingga 15 tahun, pada Disember tahun lalu.

“Daripada semua pemohonan ini, 40 dipilih untuk sesi ujian pada Sabtu lalu dengan kumpulan ini dikecilkan kepada 26, pada sesi ujian hari terakhir sebelum lima terakhir terpilih,” katanya.

“Impian ke MotoGP” adalah antara inisiatif pembangunan bakat sukan pemotoran negara dijalankan SIC, yang turut menyaksikan program penyediaan bakat dalam sukan empat roda termasuk saingan Perlumbaan Asian Le Mans Series dan kejuaraan TCR Asia Series.


Pengarang :