SELANGOR

84 hotspot kerja gantian paip bocor dikenalpasti

 

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 16 JAN : Sebanyak 84 hotspot melibatkan paip sepanjang 425.7 kilometer (km) dikenal pasti untuk tujuan penggantian paip seluruh negeri bagi tempoh 2016 hingga 2019.

Pengurus Operasi Air Selangor, Ir Abas Abdullah berkata, tiga fasa gantian paip melibatkan jumlah peruntukan keseluruhan RM248.7 juta.

“Daripada jumlah itu, 27 hotspot baru melibatkan Pakej 11B-14 dengan kos projek sebanyak RM97 juta menerusi sumber dana sebanyak RM93 juta menerusi pinjaman Kerajaan Negeri pada 2018 dan 2019 ini.

“Penganugerahan tender dibuat pada suku tahun kedua 2018 dan dijangka siap secara berperingkat menjelang Disember 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Taklimat Jawatakuasa Pilihan Khas Pengurusan Sumber Air Negeri Selangor (JPK-SAS), di Bangunan Annexe pagi ini.

Untuk rekod katanya, 23 hotspot melibatkan fasa pertama yang dilaksanakan sejak 2016 lalu dijangka siap Januari ini.

Katanya, ia melibatkan projek pembinaan sebanyak RM125.6 juta dengan sumber adalah RM50 juta diperoleh daripada SYABAS dan RM75.6 juta daripada Geran Kerajaan Negeri Selangor.

“Semua projek telah dianugerahkan kepada kontraktor berjaya dan projek sedang dalam peringkat pembinaan,” katanya.

Sementara itu, bagi fasa kedua, semua projek pembaikan 34 hotspot telah dianugerahkan kepada kontraktor dengan jumlah keseluruhan projek sebanyak RM155 juta.

“Sumber dana 2017 melibatkan jumlah peruntukan RM55 juta dan RM100 juta untuk 2018 yang mana kedua-dua dana diterima daripada suntikan pinjaman Kerajaan Negeri Selangor,” katanya.


Pengarang :