Selangorkini
SELANGOR

ADN persoal tindakan SPR pindah tiga daerah mengundi

 

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 5 JAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa tidak memindahkan tiga daerah mengundi Parlimen Shah Alam (P108) ke Parlimen Petaling Jaya Selatan (P105) dalam syor persempadanan semula Selangor.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing, R. Rajiv berkata, pemindahan itu melibatkan kawasan Glenmarie, Taman Glenmarie dan TTDI Jaya dengan lebih 6,000 jumlah pengundi.

Katanya, ketiga kawasan diselia di bawah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan seharusnya kekal dengan identiti bandar raya Anggerik itu.

“Jika ditanya penduduk pun, mereka akan kata mereka tinggal di Shah Alam, jadi mengapa perlu ditukar ke P105.

“Parlimen Petaling Jaya juga sudah mempunyai jumlah pengundi tinggi dan tiada keperluan lagi untuk penambahan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri pendengaran awam bantahan persempadanan semula SPR, di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Rajiv berkata, tindakan itu dilihat hanya memberi kelebihan kepada pihak tertentu untuk memenangi P108 pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).

Katanya, tiga kawasan berkenaan pada PRU13 lalu berpihak kepada blok Pakatan.

“Pada PRU13, kita menerima sokongan 63 peratus pengundi di tiga kawasan ini sementara bakinya menyokong sebelah sana.

“Jika berpindah, tentunya ia mengurangkan undi kepada Pakatan di P108 dan dijangka memberi kemenangan kepada pihak lawan,” katanya.


Pengarang :