SUKANKINI

AFC B23: Malaysia pertama kali layak ke suku akhir

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 17 JAN: Jaringan tunggal Danial Amier Norhisham, pada minit ke-28 cukup untuk memastikan pasukan bawah 23 negara melakar kemenangan pertama dalam kempen Kejuaraan AFC B23, di China, malam tadi.

Kemenangan 1-0 anak buah Datuk Ong Kim Swee ke atas Arab Saudi itu turut melayakkan pasukan Malaysia ke peringkat suku akhir mengiringi juara kumpulan, Iraq.

Iraq dinobatkan sebagai juara kumpulan C selepas mengumpul tujuh mata, diikuti Malaysia empat mata, Jordan dan Arab Saudi masing-masing di tempat ketiga dan keempat dengan berkongsi dua mata.

Sebelum itu, sebaik wisel permainan dibunyikan, Arab Saudi yang diletakkan sebagai pasukan pilihan menguasai hampir keseluruhan permainan dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu Malaysia.

Namun, pujian wajar diberikan kepada penjaga gol, Haziq Nadzli apabila berjaya menyelamatkan begitu banyak percubaan bahaya Arab Saudi ke gawang negara.

Walaupun Malaysia cuma sekali sekala lolos ke kawasan bahaya Arab Saudi, namun berjaya meledakkan gol tunggal perlawanan menerusi sepakan kencang Danial Amier.

Bermula separuh masa kedua, Arab Saudi terus menggandakan asakan ke arah kubu Malaysia.

Bagaimanapun, kecemerlangan barisan pertahanan yang diketuai kapten pasukan, Adam Nor Azlin, Dominic Tan, Matthew Davies dan Irfan Zakaria berjaya mengekang serangan lawan.

Menjelang minit ke-75, Arab Saudi menggandakan asakan sehingga memaksa pemain negara berkampung di kawasan sendiri.

Memasuki masa tambahan, salah seorang pemain Arab Saudi yang semakin tertekan dilayangkan kad merah kerana dipercayai membantah keputusan pengadil.

Keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.


Pengarang :