SUKANKINI

AFC23: Tewas 2-1, Harimau Muda patut bangga

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 21 JAN: Bukan sahaja tidak perlu dikesali, malah Malaysia patut berbangga walaupun perjuangan anak muda negara pada Kejuaraan AFC B23 berakhir di peringkat suku akhir petang semalam selepas skuad Harimau Muda Malaya tewas tipis 1-2 kepada satu lagi jaguh Asia, Korea Selatan.

Sebelum itu, skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee turun ke Stadium Pusat Sukan Kunshan dengan semangat membara untuk mencipta satu lagi sejarah dengan layak ke peringkat separuh akhir selepas melakar sejarah menundukkan kuasa bola sepak Asia, Arab Saudi 1-0 Selasa lalu.

Bagaimanapun, semangat pemain negara disentap lebih awal lagi apabila pemain Korea Selatan berjersi 17, Cho Jae-Wan menjaringkan gol ketika permainan berlangsung dalam masa 15 saat.

Walaupun ketinggalan, pasukan Malaysia terus mempamerkan semangat melawan tinggi menerusi beberapa serangan ke arah kubu pertahanan lawan.

Sementara itu, di kubu pertahanan Malaysia, penjaga gol, Haziq Nadzli dan pemain pertahanan negara sekali lagi mempamerkan aksi cemerlang dengan berjaya menyelamatkan percubaan bahaya pemain lawan.

Masuk separuh masa kedua, pasukan negara menggandakan asakan dengan memasukkan N. Thanabalan pada minit ke-59.

Percaturan Kim Swee itu ternyata membuahkan hasil apabila Thanabalan berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke 67 hasil hantaran lintang yang cantik oleh Safawi Rashid.

Permainan selepas itu semakin mendebarkan apabila Korea Selatan menggandakan asakan ke kubu Malaysia, namun berjaya dikekang gandingan pemain pertahanan, Dominic Tan, Matthew Davies, Adam Nor Azlin, Irfan Zakaria dan Syazwan Andik.

Berbaki lima minit sebelum tamat masa permainan dengan tampak seolah-olah permainan bakal dilanjutkan ke masa tambahan, harapan negara dimusnahkan oleh Han Seung-Gyu apabila berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-85.

Pemain negara berusaha bangkit bagi menyamakan kedudukan, namun keputusan 2-1 memihak Korea Selatan kekal sehingga tamat permainan.

Pengendali Korea Selatan turut mengakui keupayaan tersendiri pasukan Malaysia dalam perlawanan itu.

“Malaysia pasukan yang bagus, saya berterima kasih kepada pemain kerana berjaya memenangi perlawanan ini kerana saya bimbang dengan tahap fizikal dan tenaga pemain,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu.

Biarpun terkandas ke saingan separuh akhir, skuad muda negara melakar sesuatu yang istimewa dalam sejarah bola sepak tempatan apabila menjadi lapan pasukan terbaik peringkat Asia dengan mara ke suku akhir buat julung kalinya pada kejohanan dwi tahunan ini.

=EZY=

 


Pengarang :