NASIONAL

AirAsia BigPay jimat 4% kos perjalanan

SHAH ALAM, 17 JAN: e-dompet BigPay ditawarkan AirAsia mampu menawarkan sekurang-kurangnya empat peratus penjimatan kos perjalanan dan kadar tukaran mata wang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd, Tan Sri Tony Fernandes menerusi Twitter berkata, aplikasi itu boleh dimuat turun daripada Google Play store dan Apple App store.

Beliau berkata, dompet elektronik BigPay juga akan menawarkan perkhidmatan pengiriman wang dan kemungkinan perkhidmatan pinjaman wang kepada pelanggan AirAsia.

Pada Isnin, Fernandes mengumumkan perkhidmatan e-dompet BigPay, yang merupakan sebahagian daripada strategi digital AirAsia untuk meneroka pangkalan data 63 juta penumpang syarikat penerbangan tambang rendah itu.

Maklumat berkenaan BigPay di Google Play store menyatakan perkhidmatan itu bertujuan mewujudkan pembayaran masa depan di Asia Tenggara dengan menyediakan akses wang yang terjamin dan mudah kepada pengguna, pada bila-bila masa dan tempat.

Ia menggabungkan aplikasi mudah alih dengan fleksibiliti Mastercard prabayar yang diterima di lebih 30 juta pedagang di seluruh dunia, yang membolehkan pengguna mengurus kewangan secara digital.

Nilai boleh ditambah menggunakan kad debit atau kredit mereka.

Laman aplikasi itu juga menjamin BigPay di kawal selia oleh Bank Negara Malaysia, selain memiliki protokol keselamatan terkini, termasuk cap jari dan perakuan muka bagi mengesahkan identiti.


Pengarang :