NASIONAL

Ambil kira pelbagai perkara sebelum tetapkan calon PRU14

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 29 JAN: Pelbagai perkara perlu diteliti dan diambil kira dalam menetapkan calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, setakat ini calon-calon yang bertanding bagi setiap parti dalam Pakatan Harapan (PAKATAN) belum dimuktamadkan lagi.

“Kita belum muktamadkan lagi calon walaupun secara prinsipnya telah mempunyai senarai akhir nama calon-calon yang akan bertanding.

“Sebelum hari penamaan calon kita akan selesaikan perkara ini. Bagaimanapun, sekiranya pilihan raya dijangka April, kita bersedia dengan calon dan kerusi yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan di Dewan Jubli Perak di Bangunan Kerajaan Negeri (SUK), di sini, hari ini.

Terdahulu, pengagihan kerusi DUN bagi PAKATAN perlu ditetapkan pada tarikh akhir iaitu 31 Januari ini.

Mohamed Azmin yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor berkata, proses perbincangan pembahagian kerusi telah lama dibuat dengan PAKATAN Selangor.

“Jika tiada perbincangan, bagaimana nak tahu mereka (parti) berminat untuk bertanding? Namun, proses masih berjalan dan kenapa perlu tumpu Selangor saja sedangkan seluruh negara belum selesai lagi pembahagian kerusi di peringkat DUN.

“Di peringkat Parlimen pun, pada prinsipnya telah selesai tetapi masih ada perbincangan dibuat untuk memastikan kemenangan PAKATAN.

“Faktor kemenangan lebih penting daripada menetapkan tempoh tertentu. Kalau kita boleh selesaikan 90 peratus daripada pemilihan, ia adalah sesuatu yang baik bagi PAKATAN,” katanya.

Katanya, PAKATAN mempunyai satu hingga dua kerusi yang masih dalam perbincangan di mana ia perkara biasa dalam perjuangan politik.

“Ini kerana akhirnya kita mahu siapa juga yang mewakili kawasan tersebut bagi pihak PAKATAN mesti menang dan terdapat banyak faktor selain kerusi, seperti penerimaan pengundi, sokongan rakyat dan isu di kawasan itu.

“Maka, sudah tentu proses ini agak rumit tetapi saya melihat perbincangan itu berjalan dengan cukup positif untuk menentukan kemenangan,” katanya.

=EZY=


Pengarang :