NASIONAL

AMK saran turunkan umur layak mengundi

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 23 JAN: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyarankan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menurunkan had umur daftar pengundi dari 21 kepada 18 tahun.

Perkara itu disuarakan Timbalan Ketua AMK, Dr Afif Bahardin sebagai galakan supaya anak muda keluar mengundi.

“AMK mencadangkan SPR melaksanakan pendaftaran pengundi secara automatik apabila mereka mencecah umur layak mengundi.

“SPR juga boleh mempercepatkan pewartaan daftar pemilih dan memperkenalkan polisi mewajibkan tanggungjawab mengundi seperti dilaksanakan di Belgium dan Australia,” katanya dalam kenyataan.

Afif berkata, SPR digesa untuk mempromosikan pendidikan politik secara meluas berkenaan kepentingan mengundi dan pembabitan dalam proses demokrasi supaya dapat menarik golongan muda mengundi.

AMK turut menyokong gesaan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (BERSIH) Shanghai supaya tarikh pilihan raya diumum dua bulan lebih awal bagi memudahkan pengundi mengatur jadual perjalanan pulang bagi melaksanakan tanggungjawab mereka.


Pengarang :