NASIONAL

Anak panda disahkan betina

OLEH SABIRAH AZIZ

KUALA LUMPUR, 20 JAN: Anak panda yang dilahirkan di Zoo Negara 14 Januari lalu disahkan betina oleh Zoo Negara.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam satu kenyataan hari ini berkata, berat anak panda gergasi itu adalah 190 gram.

“Anak panda itu dalam keadaan sihat dan dijaga dengan baik oleh ibunya, Liang Liang dengan pemantauan rapi oleh pihak Zoo Negara,” katanya.

Ia adalah anak kedua bagi pasangan panda Xing Xing dan Liang Liang yang dilahirkan di Zoo Negara pada jam 7.50 pagi dengan berat 150 gram.

Pasangan panda itu tiba di Malaysia pada 21 Mei 2014 sebagai simbol jalinan hubungan diplomatik 40 tahun Malaysia-China, dan anak panda pertama pasangan itu dilahirkan pada 18 Ogos 2015 yang dinamakan Nuan Nuan telah dihantar pulang ke China pada 14 November lalu bagi memenuhi syarat perjanjian dua negara.

Anak panda kedua yang juga adik kepada Nuan Nuan ini belum diberi nama dan masih dikuarantin oleh Zoo Negara.

Sumber gambar dari Zoo Negara


Pengarang :