NASIONAL

Apa nasib Malaysia jika BN menang dua pertiga?

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 24 JAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka melaksanakan persempadanan semula membabitkan pertambahan kerusi untuk meningkatkan penguasaan Umno-Barisan Nasional (BN) di Dewan Rakyat, pada masa akan datang.

Ketua Penganalisis Politik dan Sosial Penang Institute, Dr Wong Chin Huat berkata, persempadanan yang dijangka bermula hujung tahun ini membolehkan Umno-BN akan terus kekal berkuasa dalam tempoh panjang.

“Kali ini mereka tidak dapat tambah kerusi kerana tiada dua pertiga tetapi jika pilihan raya akan datang kadar mengundi turun hingga 70 peratus dan BN dapat dua pertiga, Najib akan tambah kerusi Parlimen juga negeri.

“Maka, persempadanan (semula) pasti berlaku. Adakah kita akan mempunyai tenaga untuk lawan seperti sekarang? Jika kita tidak mengundi, kita bukan sahaja membantu SPR tetapi membuka pintu untuk persempadanan lebih teruk. Inilah bahaya paling besar yang ramai orang tidak tahu,” katanya.

Beliau berkata, persempadanan semula membabitkan pertambahan kerusi pasti berlaku jika BN menang dengan majoriti dua pertiga, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Chin Huat berkata, keputusan memboikot undi, pada PRU14 bukan sahaja membantu Umno-BN untuk berkuasa bagi tempoh lima tahun tetapi dalam satu tempoh panjang.

“Kali ini kita lawan hingga ke mahkamah dan berjaya menggagalkan sebahagian usaha SPR tetapi jika semuanya menjadi kosong-kosong semula tiada siapa mampu lawan,” katanya.


Pengarang :