SUKANKINI

Aplikasi Fanskick mudahkan peminat bola sepak beli tiket

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 19 JAN: Aplikasi pintar ‘Fanskick’ kini diperkenalkan kepada peminat bola sepak tempatan bertujuan memberi kemudahan kepada masyarakat untuk membeli tiket perlawanan secara atas talian.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Farouk Mustaffa berkata, aplikasi telefon pintar sebegitu julung kali diperkenalkan dan ia menjanjikan perkhidmatan dan hiburan lengkap menerusi teknologi yang mampu merapatkan jurang pemain dan penyokong bola sepak tempatan.

Katanya, menerusi aplikasi Fanskick diperkenalkan Syarikat Fanskick Dot Com Sdn Bhd itu pengguna hanya perlu mengimbas kod QR di pintu masuk stadium menggunakan telefon pintar mereka pada hari perlawanan.

“Kita menyasarkan satu juta peminat bola sepak akan memuat turun aplikasi terbabit pada tahun ini menerusi Google Play (Android) atau Apps Store (iOS),” lapor Bernama.

Majlis disempurnakan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini, malam tadi.


Pengarang :