GLOBAL

Apple bayar cukai RM150 bilion kepada AS

WASHINGTON 20 JAN: Syarikat Apple Inc (Apple) akan membuka kampus baharu dalam pelan pelaburan lima tahun di Amerika Syarikat (AS) bernilai AS$30 bilion (RM118 bilion) serta membayar cukai AS$38 bilion (RM150 bilion) untuk sekali pembayaran daripada pendapatan di luar negara.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan ia merupakan salah satu daripada rancangan pembayaran korporat terbesar yang diumumkan sejak pelepasan cukai ditandatangani Presiden AS, Donald Trump.

Syarikat tersebut di bawah tekanan yang tinggi untuk membuat pelaburan AS sejak kempen Presiden 2016 apabila Trump menyasarkan pembuat iPhone yang mengeluarkan produk mereka di kilang-kilang di Asia.

Walaupun Apple mengumumkan tiada rancangan untuk menukar amalan tersebut dan pakar me­ngatakan tidak praktikal dari segi ekonomi untuk mengeluarkan iPhone di AS.

Syarikat tersebut mula memberi keutamaan terhadap impak ekonomi negara itu apabila pembangun perisian menjual perisian di App Store bernilai berpuluh-puluh bilion dolar setahun beralih kepada pembekal AS.

Antara pelan perbelanjaan termasuk membuka peluang 20,000 pekerja, pembayaran cukai dan perniagaan melibatkan pembekal di AS. Apple menganggarkan syarikat itu akan membelanjakan AS$350 bilion (RM1.3 trilion) di AS dalam tempoh lima tahun.

Bagaimanapun tidak dinyatakan berapa banyak daripada aset luar negara bernilai AS$252.3 bilion (RM998 bilion), jumlah terbesar antara syarikat korporat AS akan dibawa pulang ke negara itu.

Sebagai tambahan kepada cukai AS$38 bilion yang perlu dibayar, Apple telah mengagihkan AS$97 bilion (RM383 bilion) hutang bagi membayar pembelian saham dan dividen di AS.

Sesetengah pelabur berkata, pelaburan AS akan memberikan syarikat ruang lebih luas terhadap pembelian saham atau pembayaran dividen tanpa kritikan. Saham Apple pada Rabu lalu mening­kat 1.7 peratus kepada AS$179.10 (RM708).

Trump menyifatkan tindakan Apple tersebut sebagai kejayaan usahanya.

“Saya berjanji dasar yang dibuat akan membolehkan syarikat se­perti Apple membawa pulang jumlah wang yang besar ke AS. Bangga melihat Apple mematuhi polisi ini dan hasilnya mendapat potongan cukai,” katanya di Twitter.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :