BERITA UTAMASELANGOR

Azmin wira di hati masyarakat India

OLEH NAZLI IBRAHIM

BATU CAVES, 31 JAN: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali disifatkan sebagai wira bagi masyarakat India Selangor ekoran peranan besarnya membantu golongan itu dalam pelbagai aspek khususnya pembangunan ekonomi dan pendidikan.

Pengerusi Majlis Sambutan Perayaan Thaipusam, Vasantha Kumar berkata, Kerajaan Negeri merupakan satu-satunya kerajaan yang membina kemudahan asrama untuk pelajar anak pekerja ladang.

“Tiada dalam sejarah pemerintahan Umno-Barisan Nasional (BN) sama ada sebelum wujudnya Pakatan atau sekarang di mana-mana negeri atau peringkat Putrajaya membina asrama untuk anak pekerja ladang.

“Kami mengucapkan syabas dan terima kasih,” katanya pada Majlis Sambutan Perayaan Thaipusam di perkarangan Kuil Sri Subramaniyar, di sini, malam tadi.

Jelasnya, sekolah Tamil berasrama yang pertama di Malaysia itu menelan belanja kira-kira RM5 juta dibina di atas tanah seluas 10 ekar di Coalfield.

Katanya, Mohamed Azmin turut bertanggungjawab menambah peruntukan untuk rumah ibadat agama Hindu di Selangor daripada RM1 juta kepada RM1.75 juta.

Katanya lagi, Mohamed Azmin juga menambah peruntuk untuk Gurdwara daripada RM500,000 pada 2017 kepada RM1 juta bagi tahun ini.

“Dato’ Seri juga menaikkan peruntukan untuk usahawan masyarakat India daripada RM1 juta tahun lalu kepada RM3 juta pada tahun ini selepas melihat kejayaan program itu melahirkan 470 usahawan India.

“Kerajaan Negeri juga menambah peruntukan untuk hadiah pelajar pekerja ladang yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan peringkat nasional daripada RM1 juta kepada RM1.3 juta,” katanya lagi.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga membiayai yuran pengajian 79 anak pekerja ladang yang berjaya melanjutkan pengajian di universiti.


Pengarang :