BERITA UTAMASELANGOR

B2B Thailand, Tourism Selangor perluas promosi

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 27 JAN: Inisiatif promosi pelancongan negeri diteruskan Tourism Selangor menerusi penyertaan Chiang Mai International Exhibition and Convention Centre (CMECC), Thailand pada 24 hingga 26 Januari lalu.

Pengurus Besar, Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, kempen promosi itu dijayakan menerusi slot diskusi B2B ‘Table Top’ bersama delegasi pelancongan serantau.

“Pasaran Asia Tenggara merupakan sasaran utama Tourism Selangor untuk menarik lebih tinggi kemasukan pelancongan menerusi kerjasama terbaik dengan Tourism Malaysia.

“Kami berharap kerjasama ini membuka pandangan masyarakat umum terhadap produk pelancongan negeri yang mampu dipasarkan kepada pelancong dari luar negara,” katanya dalam kenyataan.

Untuk rekod, Selangor mencatatkan jumlah kedatangan pelancong dari Asia Tenggara sehingga 800,000 bagi tempoh suku tahun 2017 lalu.

Noorul Ashikin berkata, perkembangan positif itu menyaksikan pertambahan jumlah kedatangan sebanyak 5 peratus, berbanding tahun sebelumnya sekitar 3 peratus.

“Pertambahan ini didorong hasil promosi dan tarikan pelancongan terbaru yang ada di Selangor seperti Sky Mirror Kuala Selangor, Gua Damai, Bangi Wonderlang, Mitsui Outlet Park, Selangor Fruit Valley, hotel mewah dan banyak lagi kemudahan infrastruktur di negeri,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Selangor melancarkan kempen Discover Selngor bagi memberi peluang kepada pelancong untuk menikmati peluang pelancongan desa sebenar di negeri ini.

Pada masa sama, Kempen Take Me Anywhere yang dilancarkan di media sosial turut diperkenalkan sebagai inisiatif memberi gambaran sebenar terhadap keindahan dan kerhamonian pelancongan negeri.


Pengarang :