SELANGOR

Banjir kilat landa tiga kawasan di Lembah Klang

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 25 JAN: Banjir kilat melanda Lembah Klang iaitu di beberapa kawasan sekitar Rawang, Gombak dan Sungai Buloh yang ditenggelami air berpunca hujan lebat berterusan, sejak jam 3 petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh, Muhammad Hazrin Zulkifli berkata, enam keluarga di Paya Jaras Hilir dipindahkan oleh anggota bomba selepas rumah mangsa dinaiki air setinggi 0.6 meter.

“Sehingga jam 7 petang, air mulai surut secara berperingkat. Tiada insiden kehilangan nyawa dan pusat pemindahan dibuka setakat ini (semalam). Air naik berpunca ban pecah dan tindakan mengeluarkan mangsa dibuat bagi mengelak insiden tidak diingini berlaku,” katanya.

Sementara itu, memetik laporan Sinar Harian, susulan kejadian berkenaan, laluan MRT Damansara Damai dan KTM Sungai Buloh turut ditutup.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor turut memaklumkan, kawasan di Gombak dan Rawang turut ditenggalami air iaitu kawasan perumahan Kampung Bahagia, Rahmat Jaya serta Jalan Batu Arang (B27) berhadapan pusat beli-belah Aeon Rawang.

Katanya, sehingga jam 8 malam tadi hujan masih berterusan disebabkan limpahan air dari sungai berhampiran yang tidak mampu menampung kapasiti.

Malah, hujan lebat itu turut menyebabkan banjir kilat di Jalan Persiaran Surian (Palm Spring) membabitkan enam kenderaan turut terkandas selepas air melimpah ke jalan.

Sumber Bomba berkata, kereta berkenaan terkandas selepas mereka meredah limpahan air di kawasan berkenaan.

“Bomba menerima panggilan kira-kira jam 4.34 petang. Kita bantu mengalih kenderaan berkenaan ke lokasi yang lebih selamat,” katanya.

Susulan kejadian itu, kesesakan lalu lintas teruk berlaku di kawasan berhampiran.


Pengarang :