KENYATAAN MEDIA

Benarkah selama ini Umno-BN dengar denyut nadi rakyat?

OLEH MOHAMAD IMRAN ABD HAMID

Saya ambil maklum kenyataan Pengerusi Biro Kebajikan Umno, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah yang mendakwa Barisan Nasional (BN) akan menjalankan lebih banyak program bantuan dan kebajikan jika diberi mandat untuk kekal menerajui kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Kini apa yang dilihat, pelbagai program baru disusun dan diatur oleh Umno BN semata-mata untuk meraih sokongan dan undi rakyat saat akhir sebelum menjelangnya PRU akan datang.

Setiap program yang dibuat hanya demi survival politik semata-mata malah disulami dengan menabur fitnah dan sebagainya terhadap parti lawan.

Lebih menyedihkan lagi, Umno BN sekali lagi menggunakan peluang yang ada untuk menimbulkan syak wasangka dan rasa benci di kalangan rakyat Malaysia.

Pentadbiran kerajaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat tidak mementingkan kebajikan dan suara rakyat.

Adakah benar selama ini Umno BN telah mendengar denyut nadi keluhan rakyat?

Rata-rata rakyat di negara ini mengharapkan kerajaan yang memerintah sekadar untuk menyelesaikan permasalahan rakyat seperti mengurangkan bebanan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Jika benar kerajaan Umno BN mendengar rintihan rakyat, sepatutnya ia membantu rakyat di setiap peringkat terutama yang kurang berkemampuan dengan menurunkan harga barang, mansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), hapuskan tol, beri pendidikan percuma, beri biasiswa dan sebagainya.

Saya ingin mengingatkan Umno BN bahawa buanglah segala bentuk kepura-puraan dan demi masa depan politiknya sendiri. Rakyat sedang menilai dan akan bersama Pakatan Harapan untuk menyembuhkan segala duka lara yang menimpa negara pada hari ini.

* Mohamad Imran Abd Hamid adalah Naib Pengerusi KEADILAN Perak


Pengarang :