SELANGOR

Boling erat hubungan PREC bersama media

OLEH AFIX REDZUAN

DAMANSARA, 25 JAN: PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) menganjurkan pertandingan boling bersama media ‘Strike Or Spare With PREC’ di Kiara Super Bowl, Bukit Kiara Equestrian Country and Resort, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, penganjuran program itu bertujuan merapatkan lagi hubungan bersama media tambahan banyak program yang akan dianjurkan tahun ini.

“Sebagai anak syarikat Kerajaan Negeri, kita pastinya mahu memastikan cabaran ekonomi semasa mampu dihadapi dengan baik menerusi beberapa program yang akan dilaksanakan sepanjang tahun ini.

“Kita akan beri tumpuan kepada usaha melahirkan lebih banyak golongan usahawan muda dan menyediakan peluang pekerjaan kepada anak muda,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas lanjut beliau berkata, PREC juga akan melakukan program khidmat sosial (CSR) seperti tahun sebelumnya dengan kerjasama agensi lain termasuk Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Pertandingan boling julung kali dianjurkan itu disertai 30 peserta terdiri daripada petugas media dan kakitangan PREC.

Media Selangor berjaya mengungguli kategori wanita menerusi Syazwani Sufian dengan kutipan 236 mata selaku juara diikuti Lizawati Madfa ketiga (222 mata) dan Nadrah Azlan kelima dengan 191 mata.

Bagi kategori lelaki, dua wakil Media Selangor turut mencatatkan keputusan cemerlang menerusi Arif Ramly yang menduduki tempat ketiga dengan 268 mata diikuti Hafizan Taib di tempat keempat dengan 262 mata.


Pengarang :