PBTSELANGOR

Buang sampah haram: MPKj keluar 38 kompaun, sita 14 lori

OLEH SABIRAH AZIZ

KAJANG, 28 JAN: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) melalui operasi Unit Alam Sekitar (Gempur) yang dijalankan di lokasi pembuangan sampah haram mengeluarkan 38 kompaun dan menyita 14 buah lori sehingga 24 Januari lalu.

Yang Dipertuanya, Mohd Sayuthi Bakar berkata, ianya dikeluarkan bagi kesalahan membuang sampah di tempat yang tidak dibenarkan di bawah UUK 4 (Undang-undang Kecil – Pembuangan, Pemungutan dan Pelupusan Sampah Sarap MPKj 2007).

“Terdapat empat lokasi terlibat dalam sitaan lori iaitu di fasa 1, Bandar Tasik Kesuma (6) dan Kampung Rinching Hulu (2), masing-masing di mukim Semenyih, dua di Bukit Enggang, Sungai Long, Cheras manakala empat lagi di lain-lain kawasan.

“Ia menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 14 lori yang disita bagi tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan sentiasa komited dalam membanteras kegiatan pembuangan sampah secara haram bagi mensasarkan sifar sampah haram pada tahun ini.

“Diseru semua pihak dapat melaporkan aktiviti ini supaya kita dapat membuat tindakan susulan.

“Diharapkan agensi terlibat dapat bekerjasama untuk menyelesaikan isu pembuangan sampah haram ini,” katanya.

=EZY=


Pengarang :