SELANGOR

Buang sikap sensitif yang negatif untuk berjaya

OLEH SABIRAH AZIZ

BANGI, 28 JAN: Sikap sensitif yang negatif seperti rasa malu dan malas untuk berusaha perlu dibuang supaya impian untuk berjaya dalam sesuatu bidang dapat dilaksanakan.

Pengurus Besar D Strike Solution, Mohd Sukur Ibrahim berkata, untuk mencapai sesebuah kejayaan, seseorang individu harus mengubah diri sendiri tanpa membandingkan nasib diri mereka dengan orang lain.

“Kejayaan dicipta insan biasa yang berusaha secara luar biasa. Ia kerana kejayaan ada proses dan perjalanan tersendiri dan jangan membandingkannya dengan orang lain.

“Sebenarnya, apa yang membezakan kita dengan mereka adalah usaha yang luar biasa. Selain itu, kita perlu memilih sahabat yang betul, bersama-sama dan bersemangat untuk sampai ke puncak kejayaan.

“Oleh itu, jangan malu untuk meminta bantuan dari orang lain dan beri peluang kepada diri untuk berjaya,” katanya semasa memberikan ceramah motivasi dalam Bengkel Orang Kelainan Upaya (OKU) Biz Online di Masjid Al-Hasanah, di sini.

Beliau yang juga penerima anugerah khas orang kelainan upaya (OKU) usahawan turut berkongsi beberapa tips untuk cemerlang dan berjaya.

“Kita perlu mempunyai impian atau niat dan menetapkan sasaran untuk meraihnya. Ia juga perlu disusuli dengan tindakan iaitu rajin berusaha, sentiasa positif dalam cabaran dan kekal bertahan untuk berjaya.

“Di samping itu, aspek kerohanian perlu menjadi keutamaan di mana kita lebih mendekatkan diri dengan agama.

“Jadi, diharapkan peserta dapat mengambil kesempatan dengan menggunakan sepenuhnya segala ilmu dan kemahiran yang diberi sebaik mungkin,” katanya.

Bengkel yang berlangsung sehari itu dianjurkan Pusat Wanita Berdaya (PWB) DUN Bangi dengan kerjasama Persatuan OKU Berdaya Hulu Langat, Pusat Khidmat ADUN Bangi serta Masjid Bandar Seri Putra, Kajang.


Pengarang :