EKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini

KUALA LUMPUR, 17 JAN: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung dalam saham wajaran tinggi sejajar dengan prestasi kebanyakan pasaran serantau lain susulan penurunan di Wall Street semalaman, kata peniaga.

Pada jam 9.10 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada pada 1,822.73, turun 3.30 mata daripada paras penutup 1,826.03 semalam, dan dibuka rendah turun sebanyak 1.48 mata kepada 1,824.55.

Keseluruhan suasana pasaran sedikit negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 161 berbanding 155, manakala 213 kaunter tidak berubah, 1,30 4 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 518.35 juta saham bernilai RM107.49 juta.

Dalam satu nota penyelidikan hari ini, Maybank Investment Bank Research (Maybank IB), berkata selepas meningkat selama tiga hari dagangan berturut-turut, petunjuk pasaran tempatan dijangka mereda seketika seiring penurunan di pasaran Amerika Syarikat.

“Saham minyak dan gas mencatatkan jualan susulan penurunan harga minyak dunia. Secara teknikalnya, kami menjangka indeks petunjuk pasaran diniagakan antara 1,820 dan 1,830 mata hari ini. Paras sokongan menurun pada 1,812 dan 1,793 mata,” kata firma pelaburan itu.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Petronas Chemicals susut dua sen setiap satu masing-masing kepada RM9.83 dan RM8.17, TNB tidak berubah pada RM15.88 manakala Public Bank meningkat empat sen kepada RM20.92.

Dalam kalangan saham cergas, Xinghe meningkat 1.5 sen kepada 7.5 sen, Globaltec naik setengah sen kepada 6.5 sen, Sumatec turun 1.5 sen kepada 10.5 sen manakala Perisai Petroleum susut dua sen kepada tujuh sen.

Indeks FBM Emas turun 18.79 mata kepada 13,169.25, Indeks FBMT 100 susut 18.37 mata kepada 12,817.45 dan FBM 70 berkurangan 7.34 mata kepada 16,416.09.

Indeks FBM Emas Shariah turun 12.77 mata kepada 13,627.66 tetapi FBM Ace meningkat 62.07 mata kepada 6,842.83.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan turun 41.24 mata kepada 17,149.56, Indeks Perladangan susut 8.18 mata kepada 8,087.50, manakala Indeks Perusahaan meningkat 19.03 mata kepada 3,375.45.

*Sumber: BERNAMA

 


Pengarang :