USS Hopper, photo by: WIKIPEDIA
GLOBAL

China halau kapal pemusnah AS langgar kedaulatan

BEIJING 21 JAN: China menghantar kapal perang untuk mengusir kapal pemusnah peluru berpandu Amerika Syarikat yang didakwa ‘melanggar’ kedaulatannya dengan belayar berhampiran beting di Laut China Selatan.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan USS Hopper belayar pada jarak 12 batu nautika dari Pulau Huangyan pada malam 17 Januari lalu tanpa memberitahu Beijing, kata Kementerian Luar, merujuk kepada beting itu dalam nama bahasa Cina.

Ia juga dikenali sebagai Beting Scarborough, gugusan batu karang terletak kira-kira 230 kilometer dari Filipina di Laut China Selatan, yang turut menyaksikan tuntutan Beijing dicabar beberapa negara lain.

Kapal perang AS itu ‘melanggar’ kedaulatan dan kepentingan keselamatan China’ dan meletakkan keselamatan kapal China berhampiran ‘dalam bahaya’, kata jurucakap Kementerian Luar, Lu Kang.

USS Hopper, photo by: WIKIPEDIA

Kementerian Pertahanan China, dalam kenyataan berasingan berkata kapal negaranya segera bertindak untuk mengenal pasti dan mengesahkan kapal AS dan mengusirnya dengan memberi amaran.

USS Hopper baru-baru ini memasuki kawasan operasi Armada ke-7 Tentera Laut AS, dengan kapal itu bertindak bebas, menurut kenyataan yang disiarkan awal bulan ini.

Misinya di Asia termasuk kerjasama keselamatan, membina kapasiti dan melakukan operasi rutin di kawasan itu.

SUMBER: AFP

 


Pengarang :