NASIONAL

DASH dan SUKE sedia untuk sistem tanpa plaza tol

OLEH NAZLI IBRAHIM

AMPANG, 25 JAN: Projek Sungai Besi-Ulu Kelang Elevated Expressway (SUKE) dan Damansara-Shah Alam Elevated Exspressway (DASH) yang dijangka siap pada penghujung 2019 dilengkapi prasarana dan rekabentuk untuk menghadapi pelaksanaan sistem Multi Lane Free Flow (MLFF).

Pengurus Besar DASH, Latib Rasol berkata, sistem itu direka bagi mengelakkan kesesakkan lalu lintas yang lazimnya terjadi di plaza bayaran tol.

“Sistem ini menggunakan teknologi tanpa palang dan pondok tol di mana kenderaan boleh melalui tanpa perlu memperlahankan kenderaan masing-masing sekaligus dapat mengelakkan kesesakan lalu lintas disebabkan plaza tol.

“Sistem ini akan digunakan pada masa hadapan apabila dikuatkuasakan suatu hari nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Taklimat Media Projek SUKE & DASH – PROLINTAS di Galeria SUKE, Excella Business Park, Taman Ampang Hilir di sini, semalam.

Jelasnya, pada masa ini sistem yang lebih maju berbanding sistem tag pintar itu sudah pun digunakan di beberapa negara seperti Singapura dan negara maju lain.

Sementara itu, SelangorKini difahamkan pada masa ini lebuh raya di Malaysia sudah pun melaksanakan sistem Radio Frequency Identification (RFID) bagi kemudahan kenderaan pihak keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

RFID merupakan satu sistem menggunakan kaedah hampir sama dengan penggunaan sistem tag pintar yang digunakan oleh kebanyakkan kenderaan persendirian.


Pengarang :