PBTSELANGOR

Dataran Banting bakal dibuka semula Februari

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LANGAT, 23 JAN: Dataran Banting yang berwajah baru bakal dibuka kepada penduduk setempat, mulai awal Februari ini selepas kerja menaik taraf selesai sepenuhnya.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohammad Zain A Hamid berkata, kerja menaik taraf kawasan itu sudah di peringkat akhir, iaitu memperhalusi dan mencantikkan.

“Segala kerja naik taraf bakal berakhir hujung bulan ini, seterusnya penduduk boleh beriadah serta bakal merasai wajah baru dataran itu tidak lama lagi.

“Walaubagaimanapun, saya berharap orang awam yang berkunjung ke Dataran Banting boleh menjaga kebersihan kawasan itu sebaiknya,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas mempegerusikan Majlis Mesyuarat Penuh MDKL Bil. 1 2018, di sini, hari ini.

Terdahulu, Dataran Banting dinaik taraf dengan kos anggaran RM400,000 untuk digunakan masyarakat setempat bagi aktiviti beriadah.

Mohammad Zain berkata, Dataran Banting yang dinaik taraf itu dilengkapi pelbagai elemen dan kemudahan, antaranya pembinaan pentas berbumbung, laluan trek joging dan pembinaan perparitan sepanjang 45 meter.

“MDKL sentiasa fokus mewujudkan pelbagai perancangan pembangunan bersempena tahun baru ini supaya berjaya mencapai taraf majlis perbandaran satu hari nanti,” katanya.


Pengarang :