NASIONAL

EAIC dapati salah laku serius kematian Balamurugan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 JAN: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendapati polis melakukan beberapa pencabulan tingkah laku yang serius dan penyalahgunaan kuasa berhubung kematian dalam tahanan, S Balamurugan, tahun lalu.

Ketua EAIC, Atuk A Aziz A Rahim pada sidang media di Putrajaya berkata, polis juga gagal mematuhi arahan majistret supaya segera menghantar Balamurugan ke hospital.

“Suruhanjaya mendapati kegagalan polis melepaskan si mati selepas perintah reman mereka ditolak majistret adalah salah laku serius kerana tidak mematuhi arahan mahkamah,” katanya yang dipetik portal Malaysiakini.

EAIC juga mendapati dua anggota polis yang hanya dikenali sebagai “SP46” dan “SP28” ‘menyalahgunakan kuasa’ dalam memerintahkan Balamurugan ditangkap semula tanpa alasan sah.

Balamurugan ditangkap dan didakwa dipukul di balai polis Bandar Batu Klang, pada 6 Februari 2017, sebelum dibawa ke pusat lokap Shah Alam selama beberapa jam dan kemudian dihantar ke mahkamah majistret Klang, pada waktu pagi untuk mendapatkan perintah reman.

Majistret mengarahkan pembebasan Balamurugan tetapi dia terus ditahan di ibu pejabat daerah polis Klang Utara dan didapati mati, pada awal 8 Februari.


Pengarang :