NASIONAL

Elak didenda, majikan perlu bayar caruman SIP

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 31 JAN: Setiap majikan disaran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) supaya menjelaskan bayaran caruman buat pertama kali untuk Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) bagi mengelakkan daripada didenda.

Unit Perhubungan Awamnya berkata, caruman itu mula berkuat kuasa bulan ini dan hendak dijelaskan dalam tempoh masa ditetapkan.

“Bayaran caruman hendaklah dijelaskan sebelum atau pada 15 hari bulan setiap bulan bagi mengelakkan denda lewat bayar dikenakan kepada majikan.

“Semua pekerja berumur 18 hingga 60 tahun perlu dicarumkan setiap bulan pada kadar caruman 0.2 peratus daripada majikan dan juga 0.2 peratus daripada gaji pekerja.

“Hanya pekerja yang sudah berumur 57 tahun dan tidak pernah mencarum dengan Perkeso sebelumnya dikecualikan daripada sistem perlindungan ini,” katanya memetik laporan Bernama.

Sementara itu, pelaksanaan SIP sebagai satu jaringan keselamatan sosial bertujuan membantu golongan pekerja kehilangan pekerjaan untuk mendapatkan bantuan kewangan serta mencari pekerjaan baharu.

Untuk membuat pembayaran caruman, Perkeso memaklumkan majikan perlu memuat turun Lampiran 1 iaitu Borang Jadual Caruman Bagi Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dari laman web Perkeso di www.perkeso.gov.my/sip dan mengisinya dengan lengkap.

Borang yang telah lengkap diisi perlu dihantar semula kepada Perkeso melalui emel ke [email protected] dengan menggunakan Tajuk [CARUMAN SIP; NAMA & KOD MAJIKAN – BULAN / TAHUN CARUMAN].

“Selepas borang itu dikirim melalui emel, majikan perlu menyediakan bayaran caruman secukupnya menggunakan sama ada cek, kiriman wang atau wang pos bertarikh dalam tempoh sah laku dan dibayar atas nama Pertubuhan Keselamatan Sosial atau Perkeso,” katanya.

Bayaran caruman boleh dibuat di kaunter pejabat Perkeso dengan membawa maklumat caruman bersama cetakan bukti penghantaran emel dan Borang Jadual Caruman Bagi SIP yang dilengkapkan secara fizikal atau ‘softcopy’.

Bagi serahan dokumen bayaran caruman di kaunter PERKESO, majikan akan diberikan Slip Akuan Terimaan Bayaran Caruman SIP.

Perkeso berkata, majikan juga boleh menghantar dokumen bayaran ini melalui pos dengan menyertakan dokumen yang sama.

Maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang Perkeso di www.perkeso.gov.my/sip atau hubungi talian khidmat pelanggan 1300 22 8000.


Pengarang :