NASIONAL

EMEL, badan amal bantu 40 keluarga di Kuala Perlis

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA PERLIS, 28 JAN: Jenama fesyen terkenal, EMEL, bersama rakan kongsi dan badan amal lain menghulur sumbangan kepada 40 keluarga memerlukan di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Besar (S), di sini, 19 Januari lalu.

EMEL memaklumkan, aktiviti amal itu adalah permulaan bagi tahun ini dengan disertai Charity Right, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) amal antarabangsa, Ben’s Independent Grocer (BIG), DS Borneo dan The Good Shop.

“Objektif utama EMEL dan rakan kongsi adalah untuk membantu keluarga tidak berkemampuan dengan memberikan sumbangan bahan mentah seperti beras, minyak masak, tepung dan sebagainya.

“Salah satu matlamat aktiviti sumbangan ini adalah untuk memotivasi ibu bapa supaya memastikan anak-anak mereka kekal di sekolah dan mendapat pendidikan sebaik mungkin,” katanya dalam kenyataan.

Program dirasmikan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan disertai DYTM Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut serta, Mohd Ridzal Sheriff dan Zurin Wok Nordin dari Charity Right, Adeline Tang dan Happy Tang (DS Borneo), Eena Khalil Lim (The Good Shop) dan kumpulan media Perlis.

EMEL adalah jenama fesyen baju raya menawarkan koleksi kapsul setiap tahun.

Aktiviti amal dijalankan syarikat itu pada setiap tahun dengan kerjasama organisasi bukan kerajaan untuk membawa perhatian kepada golongan kurang berkemampuan dan mengumpul dana bagi badan kebajikan.


Pengarang :