SUKANKINI

EPL: Swansea kejutkan Arsenal, Liverpool menang mudah

OLEH AFIX REDZUAN

LONDON, 31 JAN: Swansea City terus mencipta kejutan apabila menewaskan Arsenal 3-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi.

Walaupun The Gunners mendahului pada minit ke-33 menerusi jaringan Nacho Monreal tetapi pasukan tuan rumah menyamakan kedudukan seminit kemudian menerusi Sam Clucas.

Bersambung babak kedua, Jordan Ayew meletakkan Swansea kembali di hadapan pada kedudukan 2-1 pada minit ke-61.

Arsenal cuba bangkt mencari gol penyamaan sebaliknya Sam Clucas menambah gol peribadi pada minit ke-86 bagi keputusan penuh 3-1.

Kemenangan itu membolehkan Swansea keluar daripada zon penyingkiran dengan kelebihan satu perlawanan.

Dalam satu lagi perlawanan, Liverpool kembali mencipta kemenangan mudah selepas menewaskan Huddersfield Town 0-3.

Bertandang ke tempat lawan, Emre Can membuka tirai jaringan pada minit ke-26 sebelum Roberto Firmino menjadikan kedudukan 0-2 pada penghujung babak pertama.

Mohamed Salah menjadikan kedudukan 0-3 pada minit ke-78 menerusi sepakan penalti bagi memastikan The Reds mengutip tiga mata penuh.

Sementara itu, West Ham United dan Crystal Palace pula terikat 1-1 dalam satu lagi perlawanan.

=EZY=


Pengarang :