NASIONAL

Fenomena gerhana bulan penuh 31 Januari ini

OLEH SABIRAH AZIZ

Sumber gambar dari ANGKASA

SHAH ALAM, 19 JAN: Rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh yang akan berlaku pada 31 Januari ini, dijangka mengambil masa lima jam 17 minit, bermula jam 6.51 petang hingga 12.08 tengah malam (1 Februari).

Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) dalam kenyataan berkata, di Semenanjung, gerhana sedang berlaku ketika bulan terbit di ufuk timur, manakala di Sabah dan Sarawak, ia akan bermula selepas bulan terbit.

Katanya, fasa gerhana penuh maksimum adalah pada jam 9.29 malam dan keseluruhan gerhana berakhir, pada jam 12.08 tengah malam iaitu pada 1 Februari.

“Keadaan sama turut berlaku di timur Eropah, timur Afrika, Asia, Australia dan Amerika Utara.

“Gerhana bulan penuh berlaku apabila matahari, bumi dan bulan berada pada kedudukan sebaris serta keseluruhan bulan merentasi bayangan umbra bumi. Bulan perlahan-lahan akan bertukar daripada warna putih mutiara kepada warna kemerahan dan kembali ke warna aslinya sepanjang tempoh lima jam.

“Warna kemerahan dapat dilihat ketika fasa penuh gerhana bulan pada 31 Januari ini, berbeza dari gerhana bulan penuh lain bergantung kepada beberapa faktor termasuk keadaan di atmosfera atas bumi dan kedudukan bulan di sepanjang orbitnya,” katanya.

Ketika hampir berlakunya gerhana pada 31 Januari ini, bulan sebenarnya baru saja melepasi ‘perigee’ (bulan paling hampir ke bumi dalam orbitnya), iaitu sehari sebelumnya dengan jarak 358,993 kilometer dari bumi, sekali gus menjadikan gerhana kali ini ‘Gerhana Supermoon’.

Supermoon akan berlaku apabila bulan berada pada jarak kurang 360,000 km dari bumi dan tiada peralatan tertentu diperlukan untuk melihat fenomena ini, namun penggunaan teleskop dan binokular akan dapat membantu untuk melihat dengan lebih jelas.

Bagi membolehkan orang awam menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh, Observatori Negara Langkawi, ANGKASA, akan mengadakan aktiviti pencerapan menggunakan beberapa teleskop mudah alih yang akan disediakan kepada pengunjung dan penyertaan adalah percuma.

Terdapat beberapa lokasi lain yang boleh dikunjungi orang ramai untuk aktiviti pencerapan iaitu di Planetarium Negara Kuala Lumpur, Balai Cerap Teluk Kemang di Port Dickson, Balai Cerap Selangor di Sungai Lang Parit Baru dan Sungai Ayer Tawar, Selangor dan Balai Cerap Al-Khawarizmi di Tanjung Bidara, Melaka.

Orang ramai juga boleh mengunjungi Pantai Tok Jembal di Terengganu, Menara Tun Mustapha di Kota Kinabalu, Sabah dan Balai Cerap Kota Bharu di Kampung Kubang Rawa, Salor, Kelantan.

Fenomena gerhana bulan penuh akan berlaku sekali lagi, pada 28 Julai dan akan turut kelihatan di Malaysia.

 


Pengarang :