PENDIDIKANSELANGOR

FESBUK’18 tampilkan adiwira

OLEH HAFIZAN TAIB

FESTIVAL Buku dan Kanak-Kanak 2018 (FESBUK’18) anjuran PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) dijangka terus mendapat sambutan dan berlangsung meriah seperti tahun sebelumnya.

Memasuki tahun keempat, festival yang turut mendapat kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), SACC Mall dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan diadakan di SACC Mall, Shah Alam, pada 2 hingga 4 Februari ini.

Dengan pelbagai program menarik, FESBUK’18 mensasarkan penyertaan lebih 32,000 orang berbanding festival tahun sebelumnya yang mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat khususnya, dari Selangor.

Pengurus Komunikasi Korporat PREC, Noor Inarah Sidek berkata, FESBUK’18 adalah program berbentuk ilmiah yang dijayakan bagi memenuhi keperluan kanak-kanak dan ibu bapa serta bersesuaian dengan kehendak senasa.

“Selain bagi memupuk minat membaca, program ini adalah salah satu daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) PREC bagi menyokong inisiatif berkaitan pendidikan.

“FESBUK’18 diadakan di SACC Mall dengan orang ramai tidak hanya mengunjunginya untuk membeli-belah tetapi juga boleh turut serta dan menyertai pelbagai program bersesuaian,” katanya.

Dengan sambutan menggalakkan daripada masyarakat, festival kali ini bertema ‘Adiwira Membaca’ diadakan dengan lebih meriah melalui pelbagai acara termasuk acara tumpuan iaitu Sesi Bersama Adiwira.

Sesi Bersama Adiwira akan menemukan kanak-kanak dengan ikon adiwira pujaan mereka yang disediakan penganjur antaranya Superman, Spiderman, Captain America, Hulk, Ironman dan Batman.

“Sesi Bersama Adiwira bersesuaian dengan tema festival dan ia relevan kerana kanak-kanak mempunyai adiwira pujaan mereka sendiri, sejak dahulu hingga kini.

“Ia bakal menjadi acara tarikan FESBUK’18 dan kita juga akan membawa sekumpulan adiwira serta mengadakan pertandingan berhubungnya demi memeriahkan acara,” kata Pembantu Pengurus Bangunan SACC Mall, Azmir Baharum.

Berbanding tahun sebelumnya, FESBUK’18 kali ini akan turut diadakan di ruang luar SACC Mall dengan beberapa aktiviti bagi menambah kemeriahannya.

Selain Sesi Bersama Adiwira, penganjur menyediakan lebih 15 acara dalam festival itu seperti pertunjukan Superhero Marvel, karnival jualan buku, pertunjukan fesyen kanak-kanak dan cabutan bertuah.

“FESBUK’18 adalah festival khusus untuk anak bermula daripada bayi sehingga 12 tahun dan disertai ibu bapa juga keluarga. Maka, kita adakan acara membaca selain hiburan keluarga bersesuaian bagi mewujudkan suasana menggembirakan semua,” kata Ketua Unit Gerakan Literasi PPAS, Norkhairul Nizam M Sadon.

Katanya, dalam tempoh empat tahun, festival itu semakin mendapat perhatian masyarakat dengan penyertaan meningkat saban tahun bermula dengan penyertaan lebih kurang 15,000 orang hingga kira-kira 32,000 hadirin, pada tahun lalu.

FESBUK’18 turut menyediakan kiosk jualan dan gerai bagi pengunjung mendapatkan pelbagai barangan khasnya bahan bacaan untuk kanak-kanak.


Pengarang :