SUKANKINI

FMLLP-La Liga meterai MoU bangun bola sepak

 

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 19 JAN: Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) dan La Liga memeterai perjanjian persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam pembangunan aspek urustadbir dan teknikal pengurusan liga.

Dalam kenyataan, FMLLP memaklumkan majlis terbabit diadakan di Johor Bahru, hari ini dengan disempurnakan Pengerusinya, DYAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Ketua Pembangunan Antarabangsa La Liga, Oscar Mayo Pardo.

“Perjanjian kerjasama ini berlangsung selama tiga tahun dengan menyaksikan La Liga dan FMLLP bekerjasama membangunkan blueprint 50 tahun untuk Liga Malaysia.

“Kedua-dua pihak juga menganjurkan seminar dan bengkel oleh pakar dengan memfokuskan kepada pengurusan sukan, pemasaran, pengurusan kewangan, keselamatan stadium, pembangunan sosial serta projek komuniti melalui tanggungjawab sosial korporat,” katanya.

Melalui perjanjian persefahaman itu juga, dinyatakan La Liga akan memudahcara kepada pemain di liga berkenaan bermain di Malaysia serta berusaha mengatur perlawanan di antara pasukan di La Liga dan di Malaysia semasa pra musim.

“Selain itu, kedua-dua pihak akan memastikan usaha terbaik untuk mencapai integrasi pemain Malaysia di Sepanyol dan sebaliknya,” katanya.

La Liga adalah liga bola sepak profesional di Sepanyol.


Pengarang :