SUKANKINI

FMLLP nafi aksi Liga Malaysia sebelah petang satu penganiayaan

 

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 15 JAN: Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) menafikan pasukan yang terpaksa beraksi di sebelah petang dalam Liga Malaysia kerana kegagalan menyediakan lampu limpah mengikut spesifikasi ditetapkan sebagai satu bentuk penganiayaan.

Menerusi kenyataan di laman facebook, FMLLP berkata, kesemua pasukan dimaklumkan mengenai perkara itu supaya boleh mengambil tindakan segera termasuk dalam kes Stadium Darul Makmur yang menjadi gelanggang pasukan Pahang.

Katanya, Pahang dibenarkan beraksi di sebelah malam selepas lulus pemeriksaan ulangan bersama dengan wakil pihak stadium serta wakil pasukan pada 12 Januari lalu.

“Dalam kes Pahang, pemeriksaan pertama lampu limpah dijalankan FMLLP pada 16 Disember 2017 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

“Hasil pemeriksaan tersebut didapati 6 dari 15 lokasi lampu limpah tersebut tidak melepasi syarat 1200 lux ditetapkan,” katanya.

Bagaimanapun, FMLLP menerusi suratnya kepada Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) turut memaklumkan venue tersebut gagal bermain pada sebelah malam dan dimainkan pada sebelah petang (sepak mula 4.45 petang), pada 20 Disember 2017 .

“Dalam surat tersebut juga FMLLP memaklumkan jika PBNP ingin membuat pemeriksaan ulangan, ia boleh dibuat 14 hari sebelum tarikh sepak mula Liga Malaysia 2018. Pihak PBNP telah memberi maklumbalas dengan memohon pemeriksaan ulangan dibuat pada 12 Januari 2018,” katanya.

Menurut FMLLP, keputusan pemeriksaan ini bukan sesuatu yang boleh ditipu atau direka selain berharap tiada pihak menggunakan semua keputusan atau tindakan demi kepentingan sendiri.

Bagaimanapun, FMLLP mengucapkan tahniah kepada pihak pengurusan stadium serta PBNP yang telah berusaha memastikan pemeriksaan kedua lulus mengikut spesifikasi ditetapkan.

“Adalah penting bagi PBNP dan juga FMLLP untuk memastikan perlawanan liga dapat dimainkan pada waktu malam yang mana boleh mencapai tahap kehadiran penonton yang tinggi, seterusnya menambah nilai untuk pasukan dan liga.

“Tidak mungkin pasukan akan dipaksa bermain pada sebelah petang semata-mata untuk dianiayai,” katanya.


Pengarang :