OLEH HAFIZAN TAIB
SHAH ALAM, 18 JAN: Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) menjalankan pemeriksaan pertama Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Selayang, dekat sini, semalam.
Pemeriksaan itu bagi menentukan kesesuaian venue dalam menghadapi Liga Malaysia 2018, bermula 3 Februari ini.
“FMLLP membuat pemeriksaan pertama Stadium MPS dan ia akan dijadikan venue pasukan tuan rumah bagi Kuantan FA dan UKM FC.
“Venue terbabit akan digunakan untuk perlawanan waktu petang (sepak mula jam 4.45 petang),” katanya dalam kenyataan media.
Kuantan FA dan UKM FC adalah dua pasukan yang bertanding dalam Liga Perdana.
Antara perkara diperiksa seperti di dalam Perkara 5, Manual Liga Malaysia: Tanggungjawab Melaksanakan Organisasi Teknikal Perlawanan (OTP) adalah bilik persalinan, bilik pengadil, bilik perubatan, kemudahan media, kaunter penjualan tiket, papan skor dan pencahayaan lampu limpah.