SELANGOR

Galeria SBB pelengkap fasa 1 Selangor Bio Bay

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 17 JAN: Galeria projek pembangunan Selangor Bio Bay (SBB) bakal dibuka kepada pengunjung, pada Januari ini bertujuan memperkenalkan projek berkenaan kepada umum.

Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum Sdn Bhd (CSSB), Dato’ Mahmud Abbas berkata, pembukaannya siginifikan meliputi fasa pembangunan pertama SBB sejak September, tahun lalu.

“SBB kini dalam proses pembangunan fasa 1 meliputi kerja promosi kepada projek berkenaan terus dilaksanakan secara kondusif oleh CSSB.

“Justeru, sebagai langkah pengenalan kepada projek ini, kami akan membangunkan sebuah galeri yang akan dibuka kepada umum, menjelang akhir bulan ini.

“Kami sudah memulakan projek pembangunan galeri ini tahun lalu dan pelbagai bentuk info serta pengisian lain akan dipaparkan di galeri berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini ketika ditemui pada Program Berbasikal Cabaran Pulau Indah 180 Malaysia 2018, di pejabatnya, pada Sabtu.

Selain itu, SBB turut merangkumi projek infrastuktur jalan membabitkan pengasingan kenderaan berat dan ringan bermula di Lebuhraya Shah Alam menuju ke Wesport.

Secara keseluruhan, SBB akan dibangunkan di Pulau Indah dengan keluasan 1,070 ekar.

Ia adalah kesinambungan kepada pelan perancangan strategik sektor perindustrian seperti di Bandar Sultan Suleiman dan Bukit Raja menerusi CSSB.

Terdahulu, Kerajaan Negeri giat melaksanakan pembangunan fasa 1 SBB di atas tanah berkeluasan 300 ekar dengan pelbagai kemudahan infrastruktur.

Pembinaannya merangkumi tiga presint dalam tempoh 20 tahun secara berperingkat dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM 5.5 bilion.


Pengarang :