SELANGOR

Gesa polis tingkat pemantauan di kawasan sekolah elak kes culik

 

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 15 JAN: Polis digesa meningkatkan pemantauan keselamatan di kawasan sekolah bagi mengelak sebarang kejadian culik berlaku.

Pegawai Tadbir Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Chempaka, Hafiz Razak berkata, gesaan itu dibuat ekoran kejadian cubaan menculik pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan Indah, baru-baru ini.

“Kami mengesa polis meningkatkan pemantauan berkala sama ada bermotor atau rondaan angota dengan kereta polis.

“Ini kerana, banyak kes culik berlaku tetapi hingga sekarang tidak ada khabar berita diterima sama ada dijumpai atau tidak,” katanya dalam kenyataan.

Hafiz juga mencadangkan polis menempatkan pos atau bilik kawalan bergerak di setiap sekolah sekitar Pandan Indah untuk menangani kes penculikan yang aktif sejak akhir- akhir ini.

Katanya kejadian tersebut berlaku kepada pelajar berusia 12 tahun, Muhammad Faiz Amrun, pada 12 Januari lalu.

” Pelajar tersebut ditarik oleh seorang lelaki berbangsa India yang duduk disebelahnya di perhentian bas hadapan sekolah untuk dipaksa menaiki van berwarna putih yang dipandu kawan kepada lelaki tersebut.

“Namun dimaklumkan pelajar tersebut telah menggigit tangan penculik itu untuk melepaskan diri sebelum terus berlari untuk menaiki bas.

“Walaubagaimanapun, kejadian itu telah dilaporkan kepada polis dan sedang dalam siasatan,” katanya.


Pengarang :