AGAMASELANGOR

Hayati dan tadabbur Al-Quran, fahami serta amalkan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 31 JAN: Program Tadabbur Al Quran anjuran Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) diteruskan buat kali ke- 30 untuk lebih memahami dan menghayati kandungannya.

Pengerusinya, Datin Seri Shamshida Taharin berkata, adalah amat penting sebagai umat Islam untuk memahami isi kandungan Al Quran dan ajaran yang cuba disampaikan supaya dapat diamalkan.

“Sejak saya mula meminati dalam memahami tafsir Al Quran beberapa tahun lalu, saya mengambil platform ini untuk meneruskan program ini dan menggalakkan wanita Selangor turut serta.

“Kerana pada saya apabila saya mula merasai kemanisannya Al Quran, saya ingin kongsikan dengan semua orang,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika Program Tadabbur Al Quran, di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar Selangor, di sini, semalam.

Shamshida berkata, program itu menerima sambutan yang amat menggalakkan apabila bulan lalu kira-kira 600 peserta yang hadir menyertai.

“Program ini tidak terhad kepada sebarang had umur malah ia terbuka kepada semua peringkat usia dari seluruh Selangor,” katanya.

Tambahnya lagi, objektif utama program adalah untuk umat Islam memahami maksud isi kandungan dan nilai terkandung di dalamnya.

=EZY=


Pengarang :