EKONOMINASIONAL

Honda Malaysia kekal ranking nombor satu

SHAH ALAM, 24 JAN: Honda Malaysia Sdn Bhd mengekalkan kedudukan teratas bagi segmen kenderaan bukan nasional untuk tempoh tiga tahun berturut-turut.

Honda Malaysia dalan kenyataan berkata, syarikat itu turut mengekalkan kedudukan di tangga kedua dalam keseluruhan jumlah jualan kenderaan (TIV) bagi tempoh dua tahun berturut-turut, dari 2016 hingga 2017.

“Pada 2017, Honda Malaysia mencatat jualan 109,511 unit, rekod jualan tertinggi dalam sejarah, sejak ditubuhkan pada 2003.

“Ia juga kali pertama Honda Malaysia mencapai jualan lebih 100,000 unit dan tertinggi dalam kalangan jenama kenderaan bukan nasional,” katanya.

Dalam tempoh 14 tahun, Honda Malaysia menjual lebih 730,000 unit kenderaan dan mencatat jualan tertinggi dengan 11,221 unit dijual, pada Disember 2017.

Keseluruhan jualan bagi 2017 meningkat 19 peratus, berbanding 91,830 unit yang dijual, pada 2016.

Tahun lalu menyaksikan Honda Malaysia melancarkan enam model baharu, iaitu BR-V, City, Jazz dan Jazz Hybrid, City Hybrid, CR-V dan Civic Type R serba baharu.

Honda City muncul model terlaris pada 2017, menyumbang 27 peratus daripada keseluruhan jualan, diikuti HR-V (17%), BR-V (16%) dan Civic (14%).

 


Pengarang :