SASTERA

Hujan, payung dan elektrik

Oleh Mohd Fakhrull Abd Halim

HUJAN tak mengizinkan sesiapa pulang ke rumah. Aku melihat payung di tangan, lalu mengeluh. Payung ini takkan dapat melindungi aku daripada hujan selebat ini. Ramai orang di stesen LRT ini. Sesetengah mahu ke parkir kereta di depan sana, sesetengah belum berani meredah hujan selebat ini dengan motosikal, dan selebihnya seperti aku, pejalan kaki yang tak mahu percaya dengan jaminan payung yang menjanjikan perlindungan; tidak dalam hujan selebat ini.

Aku melihat keliling, ramai orang tertunduk melihat skrin telefon pintar. Aku tak ada siapa yang hendak aku tegur di WhatsApp, dan aku tak suka membaca luahan perasaan di Facebook, lawak-lawak sinis di Twitter, atau melihat swafoto ‘muka-sama-tudung-saja-berbeza’ di Instagram. Ada sekelompok orang muda berbaju kemas (mudalah dari aku), berdiri tak jauh dariku sambil bercerita dan ketawa. Barangkali pelajar yang baru habis pembentangan projek akhir.

Jalan tar di depanku sudah digenangi air. Aku melenggak memandang langit dan titis-titis hujan yang terjun darinya. Adakah titis-titis hujan ini telah terlebih dahulu memilih tempat di atas bumi di mana ia akan timpa dan basahkan? Ataukah ia menurut sahaja ke arah mana angin membawa mendung, dan pasrah sahaja apabila mendung mencarik-barikkan kepulannya menjadi hujan?

Aku memandang semula ke arah orang-orang muda tadi.

Mereka pula bagaimana? Nanti selepas graduasi, apakah mereka telah ada pilihan lapangan yang ingin mereka basahkan dengan bakat masing-masing, dan suburkan dengan pembaharuan orang muda? Ataukah mereka hanya akan menggapai sahaja mana-mana tawaran yang datang dulu, tanpa menghiraukan impian dan cita-cita? Lalu hidup sekadar hidup… Macam aku…

Ada tren baru tiba. Kaki lima berbumbung di stesen ini semakin dipenuhi orang ramai, semuanya pasti baru pulang dari kerja. Ada yang mengeluh sambil bersilih ganti memandang jam tangan dan langit yang kehujanan, ada yang menggeleng-gelengkan kepala sambil mencekak pinggang, dan ada yang tidak peduli, terus bermain telefon pintar sambil tersenyum-senyum. Yang tidak berbuat apa-apa: tidak marah, tidak kecewa, dan tidak juga gembira, barangkali cuma aku seorang.

Mengambil tempat duduk di sebelahku, seseorang yang membawa tindihan kertas. Aku mengerling.

Perempuan…

Bunyi gemeretap atap kaki lima ini, akhirnya tenggelam oleh degup-degap jantungku.

Hujan menipis. Orang beransur pulang. Yang tinggal cuma sedikit orang, aku, dan dia.

Adakah dia menanti orang menjemputnya pulang? Aku menjeling melihat kertas-kertas di atas ribanya. Karangan bahasa Melayu. Cikgu barangkali? Tak ada kereta ke? Jarang tengok cikgu naik LRT. Dia bangun, dan berjalan menuju ke kedai serbaneka di belakang.

“Payung habis, kak. Ramai orang beli hari ni.”

Bunyi tumit kasutnya memberitahu yang dia kembali lagi ke sebelahku. Dari wajah sugulnya, terlepas keluhan kecil, sambil memandang langit.

Iya juga. Biar serenyai mana, hujan masih mampu membasahkan, lebih-lebih lagi kertas yang sebanyak itu. Sedangkan aku, tak membawa apa-apa; hanya sebatang tubuh, sekaki payung, dan beg sandang yang tak ada apa-apa sangat pun di dalamnya, kecuali ruang yang menanti peluang disumbatkan barang kandungan.

Payung di tangan kuhulurkan. Dia membalas dengan pandangan. Aku yang selalu suka melingas mengelak pandangan mata orang, entah apa tak kenanya pada petang ini, memandang tepat ke arah dua matanya. Dan kilat yang tak berdenyar di langit, kurasakan menyala dan menjalar di antara mataku dan matanya. Adakah cuma aku yang berasa aneh sebegini? Jika begitu, kenapa dia turut diam seperti aku?

“Aaa.. Encik… Awak… Tak guna payung?” Dia yang memenggal diam.

“Saya tak ada kertas karangan yang nak dilindungi,” Aku menjuihkan bibir ke arah kertas-kertas di ribanya.

“Oh… Ni… Beg kertas terbarai dalam tren tadi. Payung pula tertinggal di sekolah.” Dia tersenyum. Dan aku terenjat lagi oleh elektrik tadi. Perlahan-lahan, dia capai payungku, dan sebelum sempat dia bangun, aku terlebih dahulu bangun dan berlalu pergi. Aku tak mahu rasa janggal kembang dahulu sebelum payung yang kupinjamkan padanya. Tetapi dalam perjalanan ke rumah, aku rasa menyesal lalu mengutuk-ngutuk diri sendiri.

***

Aku menekur, melihat jarak di antara dua kasutku. Boleh ke beli tanah seluas sekangkang ini? Aku mengangkat muka. Berapa harga rumah kondo kalau sebesar gerabak ini? Aku terdekit. Mana ada rumah yang murah sekarang ini? Nasib baik aku dah ada tiga rumah: rumah busuk dan lelong yang kubeli murah dan ubah suai sedikit ikut kemampuanku, lalu dua daripadanya kusewakan, satu lagu aku huni. Tak termasuk dua buah yang telah kulepaskan lebih murah daripada harga pasaran, tetapi tetap memberi pulangan berganda padaku. Pandai menyimpan, pandai melabur, sesiapapun boleh ‘bebas’ daripada himpitan. Aku tak kemaruk membeli kereta Vios sebaik mendapat gaji tiga/ empat bulan pertama, dan tak juga membeli rumah kondo atau teres yang baru siap dibina. ‘Ukur baju di badan sendiri’.

Ah… Hujan lebat lagi hari ini. Orang di kaki lima berbumbung ini ramai seperti semalam.

Kilat berdenyar, dan ingatanku tersilau oleh kejadian semalam. Entah apa yang melengkungkan bibirku, sehingga ia tersenyum sendiri.

Perempuan… Dia tinggal di blok mana? Adakah blok yang sama dengan aku?

Aku terasa ada sesuatu memanggilku dari sebelah kanan, tetapi bukan suara. Aku berpaling, menyahut panggilannya. Di kanan, perempuan yang baru tadi bergayut-gayut di menungan, kini kudapati sedang duduk di bangku besi semalam.

Dia sedang memandangku; adakah sejak tadi? Kemudian dia perlahan-lahan tersenyum.

Aku berjalan perlahan menghampirinya, mengambil tempat duduk di sebelahnya. Sebelum sempat kusuarakan khabar, dia telah memulangkan payung hitamku. Di tangannya, dia memegang sekaki payung biru yang kelihatan baru.

“Er … Awak tunggu hujan reda?”

Dia  memandang semula ke depan. Perlahan, dia menggeleng.

“Tunggu awak.”

Mataku terjegil. Dan sesuatu menarik semula bibirku sehingga melengkung parak. Kurasakan pipiku bagai dicucuk-cucuk oleh muncung senyuman sendiri.

Saat itu, aku yakin, bukan cuma aku yang merasakan renjat elektrik semalam.


Pengarang :