SELANGOR

Ibu bapa perlu positif dan terbuka dengan anak-anak

OLEH AFIX REDZUAN

SELAYANG, 27 JAN: Ibu bapa perlu positif dan berlapang dada dalam membentuk sahsiah anak-anak supaya hubungan terjalin bertambah erat.

Isteri Dato’ Menteri Besar, Datin Seri Shamshida Taharin berkata, ibu bapa mempunyai peranan penting dalam mengawal emosi dan memberikan motivasi khususnya apabila anak-anak tidak mencapai keputusan cemerlang selepas mereka berusaha bersungguh-sungguh.

Menurutnya, hubungan rapat antara ahli keluarga memberikan lebih peluang untuk menegur sebarang kesilapan supaya anak-anak tidak mengulanginya.

“Saya menghargai usaha mereka (anak-anak). Apabila anak-anak kecewa, kita perlu ada disitu untuk mengangkat mereka.

“Tidak perlu merendah-rendahkan, cakap benda positif dan kita perlu percaya kebolehan anak-anak. Bahkan dalam Islam sendiri menyatakan kata-kata itu sebagai doa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Sepetang Bersama Datin Seri Shahshida Taharin anjuran Pusat Khidmat Batu Caves di Dewan Sri Siantan.

Berkongsi pengalaman sebagai isteri Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali beliau berkata, suaminya sentiasa sibuk dengan kerjaya sebagai orang politik sejak mereka mula mendirikan rumah tangga.

Katanya, beliau sudah biasa dengan keadaan itu bahkan bersyukur dikurniakan enam orang anak yang menjadi peneman dikala suaminya sibuk bekerja.

Namun, Shamshida berkata, Mohamed Azmin akan meluangkan masa bersama keluarga terutamanya pada waktu Maghrib untuk solat berjemaah.

“Saya dah biasa menjadi isteri seorang ahli politik. Perbezaannya dia (Mohamed Azmin) sekarang menjadi Dato’ Menteri Besar.

“Cuma bidang kerja sahaja berlainan. Dahulu jadi Ahli Dewan Negeri (ADN), sekarang Ahli Parlimen dan Dato’ Menteri Besar.

“Allah itu adil, Dia beri saya tiga lelaki tiga perempuan. Anak lelaki boleh jadi imam jika ayahnya tiada.

“Kalau anak lelaki tiada, saya akan jadi imam kepada anak perempuan. Tidak rasa kehilangan sangat,” katanya.

Hadir sama Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi dan Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Caves, Amirudin Shari.

Majlis yang dihadiri hampir 450 wanita dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Caves dan Parlimen Gombak itu turut diisi dengan sesi penerangan ‘Hak-Hak Wanita Dalam Perundangan’ yang disampaikan peguam, Nurainie Haziqah Shafie.

 


Pengarang :