OLEH NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 20 JAN: Cetusan hebat inovasi Permainan Smart Al-Fatihah ciptaan Muhammad Nazir Bin Mohammed Khalid, Pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat, Universiti Selangor (UNISEL) berjaya menobatkan beliau sebagai pemenang pingat emas.
Anugerah itu diterima di Karnival Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran UKM (K-Novasi P&P) menerusi Kategori e-Pembelajaran, Bahan Bantu Mengajar, baru-baru ini.
Pengarah Komunikasi Korporat UNISEL, Hasril Abu Hassan berkata, kejayaan yang diraih oleh Muhammad Nazir itu cukup membuktikan bahawa UNISEL mempunyai tenaga pengajar antara terbaik dan setanding dengan pensyarah daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Katanya, K-Novasi P&P itu mula diperkenalkan pada 2014 dengan objektifnya untuk mengenal pasti produk dan inovasi P&P di peringkat kebangsaan.
“Ia selain meningkatkan kemahiran warga akademik dari segi teknik dan pendekatan terkini bagi proses pengajaran dan pembelajaran.
“Apa yang lebih menarik, karnival yang sudah memasuki siri ketiga penganjuran itu buat julung kalinya menawarkan penyertaan kepada peserta dari institusi luar,” katanya dalam kenyataan.
Hasril berkata dengan kejayaan yang ditunjukkan Muhammad Nazir itu, dapat dijadikan dorongan buat tenaga akademik lain untuk terus menggapai kecemerlangan dan menjadikan UNISEL sebagai pusat pendidikan peneraju transformasi.
=EZY=