KENYATAAN MEDIA

Insentif pesara, satu lagi gula-gula PRU14?

Pertengahan bulan Januari baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan peruntukkan sebanyak RM3 juta kepada pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai menghargai perkhidmatan mereka untuk negara selama ini.

Katanya, peruntukan tersebut akan diberikan ke dalam Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) pada setiap tahun dalam tiga tahun akan datang.

Selain itu, insentif lain turut diberikan antaranya adalah kuo­ta khas untuk menunaikan haji bakal diberikan kepada golongan pesara polis, mengkhaskan kuota 10000 unit skim pe­rumahan mampu milik Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) kepada pesara polis untuk mereka memiliki rumah.

1. Dalam isu ini, saya menyambut baik insentif Kerajaan Persekutuan yang ingin diberikan kepada pesara polis kerana perkhidmatan dan pengorbanan mereka kepada negara.

Ini sememangnya merupakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk membantu pesara polis dalam menjaga kebajikan mereka.

Kerajaan Persekutuan perlu menghargai golongan ini sebagai aset negara kerana golongan ini memiliki ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang amat luas dalam bidang keselamatan dan pencegahan jenayah.

2. Walaubagaimananapun, saya merasakan dalam trend ekonomi yang tidak menentu serta peningkatan kos sara hidup yang menekan rakyat keseluruhannya, intensif sebegini hanya menunjukkan kerajaan UMNO BN cuba menabur ‘gula-gula’ kepada pesara polis.

Bagi saya, usaha – usaha sebegini wajar dilakukan sejak dahulu lagi, memandangkan kebanyakan pesara polis ini berdepan dengan kesempitan kewangan yang amat teruk, wang pesaraan yang mereka dapat tidak mencukupi untuk perbelanjaaan harian mereka.

Menjelang musim pilihanraya ini, saya tidak terkejut dengan insentif-insentif yang agak menyegarkan mata pesara polis ini. Pelbagai insentif termasuk kewangan, kuota haji (walaupun belum dimuktamadkan berapa yang akan dapat) dan perumahan mampu milik, ini adalah sebahagian daripada tuntutan golongan pesara polis sekian lama.

Mengapa sekarang – menjelang pilihanraya yang akan datang??

Saya tidak dapat melihat keikhlasan, mahupun kesungguhan Kerajaan UMNO BN dalam menjaga kebajikan pesara polis ini.

Saya melihat intensif yang diumumkan untuk golongan pesara polis yang sedang merana dan hidup dalam serba kesempitan ini, hanya sebagai *gula – gula pilihanraya*. Ianya sekadar untuk mendapatkan undi pesara polis menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Apakah Kerajaan UMNO BN takut kehilangan undi pesara polis?

Pengumuman intensif ini tidak menjanjikan apa-apa perubahan. Golongan pesara polis memerlukan satu perubahan holistik, perubahan yang mampu memartabatkan mereka sebagai aset negara, menaikan imej dan integriti mereka sebagai pahlawan negara. Pengorbanan mereka perlu diutamakan, jasa mereka perlu dikenang.

Pengumuman intensif ini adalah sekadar untuk mendapatkan undi pesara polis yang semakin hari semakin merungut terhadap Kerajaan UMNO BN. Kerajaan UMNO BN takut akan kehilangan undi pesara polis, maka intensif sebegini ditaburkan. Amat menyedihkan untuk mengetahui bahawa, pesara polis yang merupakan wira – wira negara ini, dibiarkan hidup dalam kesempitan, dan diperdayakan dengan pelbagai intensif sebegini, hanya sekadar untuk menang pilihanraya.

Kesimpulannya, bukan kebajikan dan kehidupan pesara polis yang dibela oleh Kerajaan UMNO BN tetapi hanya undi golongan pesara polis ini dijaga.

3. Tambahan kepada itu, setiap kali menjelang pilihan raya janji-janji sebegini ditaburkan kepada anggota polis tetapi tidak ditunaikan. Golongan pesara polis, seolah-olah dipergunakan kerajaan UMNO BN.

Persoalannya, adakah janji-janji manis kali ini akan ditunaikan kerajaan selepas beribu janji telah ditaburkan kepada mereka?

Ini bukan janji pertama kali diberikan, sudah berulang kali janji-janji sebegini ditaburkan merata-rata, tetapi pelaksanaannya tiada. Itulah budaya UMNO BN yang masih dikekalkan daripada dahulu sehingga sekarang. Hanya pandai menabur janji kosong sahaja.

4. Saya ingin mengingatkan rakyat Malaysia bahawa kita perlu sedar bahawa janji demi janji yang diutarakan oleh kerajaan UMNO BN tidak akan menyelesaikan permasalahan yang dihadapi rakyat, baik polis atau rakyat biasa.

Isu-isu ekonomi, isu kepimpinan, kejatuhan nilai matawang, skandal rasuah, ketirisan dan penyelewengan wang rakyat perlu diselesaikan terlebih dahulu. Itu yang dituntut oleh rakyat selama ini.

Manivanan Gowin
Ahli Parlimen Kapar
Parti KEADILAN Rakyat


Pengarang :