SELANGORSUKANKINI

Insentif RM162,000 kepada 40 atlit Kejohanan Sukan Para Asean Ke-9 KL

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 29 JAN: Seramai 40 atlit para Selangor yang terlibat dalam Kejohanan Sukan Para Asean Ke-9 menerima insentif wang tunai berjumlah RM162,700 daripada Kerajaan Negeri.

Antara penerima terbabit, atlit acara berbasikal, Mohd Najib Turano yang menerima insentif berjumlah RM20,000.

Bercakap kepada media, Mohd Najib menyifatkan insentif yang diberikan ini membakar semangat beliau untuk berusaha gigih mengharumkan nama negara dalam kejohanan akan datang.

“Insentif ini membuatkan saya lebih bersemangat berlatih untuk menghadapi Kejohanan Berbasikal Asia pada Febuari ini sebelum kejohanan lebih besar kejohanan dunia di Rio, Brazil juga pada tahun ini.

“Wang yang saya dapat ini akan saya simpan untuk kegunaan selepas bersara nanti kerana kita sedia maklum bahawa sebagai atlit, kami tiada tabungan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk hari tua dan tambah lagi karier sebagai atlit cepat berakhir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Insentif Kepada Atlit Selangor Ke Kejohanan Sukan Para Asean Ke-9, Kuala Lumpur 2017, di Hotel De Palma Seksyen 19, di sini, hari ini.

Jelasnya, beliau juga menyimpan hasrat untuk beraksi dalam sukan olimpik para pada 2020.

Sementara itu, seorang lagi atlit berbasikal, Noraidillina J Sham pula menyifatkan insentif RM14,000 yang diterimanya itu sebagai satu bonus kepada beliau.

“Kepuasan sebenar apabila berjaya mengharumkan nama negara dalam acara kegemaran saya tetapi insentif ini adalah satu bonus buat saya dan ini sudah tentu menyuntik semangat untuk saya berlatih lebih bersungguh-sungguh,” katanya.

Jelasnya, sama seperti Mohd Najib, pada masa ini beliau juga sibuk menjalani latihan pesat bagi menghadapi kejuaraan berbasikal Asia tidak berapa lama lagi.

Terdahulu, seramai 40 atlit para Selangor menerima insentif daripada Kerajaan Negeri.

Insentif itu disampaikan oleh Exco Pembangunan Generasi Muda & Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari.

=EZY=


Pengarang :