SELANGOR

Insiden tong ikan: Hanya salah faham

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KUALA SELANGOR, 16 JAN: Insiden diantara penguatkuasa Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dengan peniaga ikan di Pasar Basah Pasir Penambang, pada 13 Januari lalu berpunca daripada salah faham.

Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan MDKS, Mohamad Yusli Askandar berkata, kejadian berlaku apabila anggota terlibat melakukan rondaan berjadual ke pasar itu membantu mengalihkan tong ikan yang diletakan dilaluan awam sebelum ia terjatuh dan menyebabkan berlaku salah faham.

“Hasil semakan mendapati peniaga terbabit sudah dikenakan dua amaran atas kesalahan sama.

“Walaubagaimana pun, MDKS kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab menularkan video insiden itu,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, MDKS telah bertemu dengan peniaga terbabit dan beliau turut akur serta mengakui kesalahan yang dilakukan.

“Peniaga terbabit akur dengan kesalahan dan memberi jaminan untuk mematuhi arahan dari semasa ke semasa.

“Kita sentiasa mengadakan operasi pemantauan di Pasar Basah Pasir Penambang kerana kawasan itu menjadi tumpuan awam dan pelancong,” katanya.

Mengulas lanjut, Yusli berkata, pihaknya juga mengambil tindakan kepada tiga orang penguatkuasa terlibat dalam kejadian insiden tersebut.

“Mereka tidak dibenarkan bertugas di lapangan dan siasatan secara dalaman akan dilakukan dalam masa terdekat bagi mengelak sebarang perselisihan berulang,” katanya.

Masyarakat turut dinasihatkan untuk menyalurkan aduan secara atas talian berkaitan perkhidmatan MDKS di talian Sistem Talian Aduan Rakyat Selangor (STAR) atau di [email protected] jika berkaitan salah laku rasuah atau disiplin melibatkan kakitangannya.


Pengarang :