BERITA UTAMASELANGOR

Isu paip pecah Seksyen 17 dijangka selesai April

OLEH SABIRAH AZIZ

PETALING JAYA, 17 JAN: Masalah paip pecah yang dihadapi penduduk di kawasan Seksyen 17, di sini, dijangka selesai, pada April ini, kata Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing, Rajiv Risyakaran.

Beliau berkata, keadaan yang berlarutan sejak tujuh hari lalu itu menyebabkan 3,000 rumah terjejas selain mengalami gangguan bekalan air.

“Terdapat lima lokasi terbabit iaitu di Jalan 17a/4, Jalan 17a/7, Jalan 17/1, Jalan 17/20 dan Jalan 17/50. Penduduk juga marah dan salah faham bahawa paip yang digunakan adalah paip baharu yang tidak berkualiti.

“Sebenarnya paip pecah itu adalah paip lama. Jadi, saya jelaskan kepada mereka bahawa paip baharu belum disambungkan dengan bekalan air lagi,” katanya kepada media selepas melawat kawasan terbabit, hari ini.

Rajiv berkata, proses penyambungan air di paip baharu akan dilakukan selepas pihak kontraktor menguji keseluruhan bahagian paip baharu yang kemudian akan disambungkan ke rumah.

“Saya kasihan kepada nasib dihadapi penduduk yang mengalami masalah sama ini sejak tiga tahun lalu kerana dalam tempoh setahun, lebih dari 20 masalah paip pecah berlaku.

“Justeru, saya menasihatkan kontraktor Air Selangor supaya membuat kerja penurapan dengan baik selepas melakukan kerja pembaikan dan penggantian paip,” katanya.

Kerja penggantian paip di kawasan itu bermula, pada April 2017 dan dijangka siap, pada April tahun ini.

Kawasan itu juga dikenal pasti antara 84 hotspot membabitkan penggantian paip sepanjang 425.7 kilometer (km) seluruh negeri, di bawah Air Selangor.

Pembaikan itu dilaksanakan dengan peruntukan keseluruhan RM248.7 juta bagi tempoh 2016 hingga 2019.


Pengarang :